Bidaan Jam Rolex Dr. Zulkifli Cecah RM130K
Bidaan jam jenama Rolex bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mencecah harga RM130,000 setakat pukul 9.35 malam tadi.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Dr. Zulkifli di ruangan komen dan seperti yang dijanjikan keuntungan tersebut akan disumbangkan kepada rakyat Palestin yang berdepan kesulitan pada ketika ini.
“Makluman terkini, jam 9.35 malam pada 30 Oktober, bidaan tertinggi adalah sebanyak RM 130,000,” katanya.
Bidaan tersebut telah dimulakan dengan harga tapak kira-kira RM40,000 pada Ahad dan telah tamat dengan harga RM130,000 pada 31 Oktober, 12 tengah malam ini.
Sehingga jam 9.35 malam, Dr. Zulkifli mengemas kini di ruangan komen dengan menyatakan jumlah bidaan telah mencecah sekitar RM130,000.
Difahamkan buat masa ini nilai angka bidaan tertinggi yang diumumkan ialah RM130,000 setakat 9.35 malam tadi.
Rai kesungguhan Kerajaan Arab Saudi

Semalam, Dr. Zulkifli telah menguar-uarkan bidaan jam jenama terkenal itu di media sosial miliknya dengan menyatakan penjualan dibuat adalah untuk meraikan kesungguhan Kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan billion dollar kepada Palestin saban tahun.
Mantan Menteri Agama itu juga berkata, jam berkenaan merupakan pemberian daripada Raja Arab Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz sejak enam tahun lalu.

“Kisahnya bermula pada Februari 2017 apabila saya mendapat panggilan mengejut ketika sedang menghadiri mesyuarat sebagai Panel Penasihat Syariah Bank Negara.
“Saya diminta oleh Kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua para mufti dan para ulama Malaysia, menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, DYMM Al-Malik Salman bin Abdulaziz hafizahullahu ta’ala dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.
“Beberapa hari selepas majlis berkenaan di St. Regis Hotel, saya dihubungi pihak Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia. Ada cenderamata yang dikirimkan daripada Raja Saudi kepada saya. Lantas saya minta pegawai saya Dr. Aizam untuk mengambilnya.
“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat saya di Putrajaya, sehinggalah saya dilantik sebagai Menteri. Semasa saya menjawat jawatan Menteri, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat kedua saya di Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.
“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya. Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” tulisnya di platform berkenaan.
https://www.facebook.com/drzulkiflialbakri/posts/pfbid0277dcUVkfHmCH5vQBMFeRFihcNpQfXwm8o1p2qKAGGSPZQ4ohbcFaAMKLcFXG4CUel
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri/Facebook