Siakap Keli

MoU Antara SME Malaysia Dan Enterprise Singapore Bakal Dorong Pertumbuhan PMKS

KUALA LUMPUR – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura telah menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SME Corp. Malaysia dan Enterprise Singapore di The Istana, Singapura pada 30 Oktober 2023 yang merintis jalan ke arah memperkukuh hubungan dua hala dan mendorong pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi kedua-dua negara. Majlis tersebut menjadi lebih signifikan kerana diadakan bersempena Lawatan Kerja YAB Perdana Menteri ke sesi Permukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura yang Ke-10.

MoU yang ditandatangani secara rasmi oleh Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, dan Encik Lee Chuan Teck, Ketua Pegawai Eksekutif Enterprise Singapore telah mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua organisasi ke arah pembangunan PMKS Malaysia dan Singapura. Kerjasama ini memberikan tumpuan kepada aspek latihan, pendigitalan, kelestarian dan akses pasaran yang lebih luas untuk PMKS kedua-dua negara. SME Corp. Malaysia telah mengenal pasti lapan (8) sektor yang akan diberi keutamaan untuk aktiviti padanan perniagaan termasuk pertanian pintar, elektrik dan elektronik, aeroangkasa, peranti perubatan, industri halal, minyak dan gas, pelancongan dan biomas.

Mengulas mengenai MoU tersebut, Encik Rizal berkata, “Melalui MoU ini, kami berhasrat ianya bakal membawa kepada kerjasama lebih erat serta kemakmuran ekonomi untuk Malaysia dan Singapura, khususnya dalam pembangunan PMKS menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik. Kedua-dua negara amat mengharapkan untuk mengambil peluang daripada potensi sektor PMKS masing-masing dan memanfaatkan kerjasama ini bagi menyokong aspek keusahawanan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi. MoU yang dimeterai ini sememangnya satu peristiwa penting buat kedua-dua negara”.

Pada tahun 2022, Singapura muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan menduduki tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN. Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM368.1 bilion, dengan lebihan perdagangan kepada Malaysia. Eksport Malaysia ke Singapura pada 2022 mencecah RM232.56 bilion, manakala import berjumlah RM135.63 bilion. Lebihan perdagangan yang besar ini menunjukkan kerjasama ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.

Trend positif dalam perdagangan Malaysia-Singapura berterusan bagi tempoh Januari – Ogos 2023, dengan nilai dagangan mencecah RM281.9 bilion. Prestasi ini menyerlahkan daya tahan dan dinamik hubungan perdagangan dua hala. Statistik ini menunjukkan komitmen yang jitu terhadap pertumbuhan dan kemakmuran bersama yang menekankan kepentingan perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Dato’ Dr. Azfar bin Mohamad Mustafar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia.

Nur Farra