Kuala Lumpur, 30 Oktober 2023 – Pusat Perubatan Prince Court dengan kerjasama Persatuan Klef Bibir & Lelangit Malaysia (CLAPAM) dan Art Market Malaysia baru-baru ini telah menganjurkan Pameran Seni Amal sempena Bulan Kesedaran Klef. Pameran seni telah diadakan mulai 23 hingga 28 Oktober bertempat di lobi pusat perubatan. Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpulkan derma bagi pesakit klef. Pameran berjaya memperoleh RM14,450 di mana 10% daripada hasil ini telah disumbangkan kepada CLAPAM.
Pameran Seni Amal menampilkan koleksi hasil seni yang pelbagai, antaranya termasuk karya yang dihasilkan oleh para pelukis tempatan, pelukis kurang upaya dan kanak-kanak. Dengan harga setiap lukisan antara RM100 hingga RM8,000, terdapat hasil seni yang sesuai dengan setiap bajet dan cita rasa.
Pakar Ortodontik Pusat Perubatan Prince Court, Kol. (B) Datin Dr. Mumtaj Nisah Abd Rahim teruja dengan pameran ini dan berkata: “Kami di Prince Court amat memahami kesan yang dibawa akibat klef dalam kehidupan seseorang. Bagi mereka yang lahir dengan keadaan klef bibir dan lelangit, proses untuk mengukir sebuah senyuman yang manis dan meyakinkan adalah sangat mencabar dan kami sangat berbesar hati dapat menyertai usaha ini.”
Para pelawat ke pameran ini juga telah berpeluang mempelajari lebih lanjut tentang kesedaran dan sokongan klef. Art Market Malaysia dan CLAPAM telah menempatkan gerai mereka di lobi Prince Court yang menyediakan maklumat dan sumber yang berguna tentang keadaan klef bibir & lelangit.
Selain daripada pameran seni, acara turut menyediakan beberapa aktiviti menarik untuk para peserta. Peminat seni boleh menyertai sesi mewarnakan batik dengan yuran sebanyak RM30 atau kelas lukisan akrilik dengan yuran sebanyak RM55. Sepuluh peratus daripada yuran aktiviti ini telah disalurkan kepada CLAPAM.
Kerjasama antara Pusat Perubatan Prince Court, CLAPAM dan Art Market Malaysia ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keadaan klef bibir dan lelangit selain memberi sokongan yang amat diperlukan oleh pesakit klef. Pihak penganjur menyeru orang ramai supaya memberi sumbangan kepada usaha murni ini sepanjang Bulan Kesedaran Klef.
TENTANG PUSAT PERUBATAN PRINCE COURT
Kecemerlangan bertaraf dunia digabungkan dengan penjagaan eksklusif di Pusat Perubatan Prince Court menerusi usaha kami untuk menjaga dan memberikan perkhidmatan terbaik dalam segala apa yang kami lakukan. Para doktor, jururawat dan ahli profesional perubatan kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan Prince Court dapat memberikan jawapan dan penyelesaian yang betuk kepada semua yang mengunjungi pusat perubatan kami.
Sebagai sebuah hospital tahap tertinggi pemenang anugerah dan menerima akreditasi antarabangsa di Kuala Lumpur, Prince Court diiktiraf di peringkat global bagi kecemerlangan penjagaan kesihatan secara menyeluruh dengan piawaian emas. Ini dicapai melalui penyediaan penjagaan peribadi berbilang kepakaran dengan hasil klinikal yang cemerlang dalam persekitaran yang sejahtera.