Ditemani Entiti Ghaib, Detik Seram Kerusi Roda Bergerak & Pili Paip Terbuka Sendiri Di Hospital
Bekerja dalam sistem syif bagi sesetangah orang adalah satu situasi yang sangat mencabar. Lebih-lebih lagi apabila tiba giliran untuk bertugas di sebelah malam, cabaran yang perlu dilalui mungkin lebih berat.
Apatah lagi jika anda bertugas dalam bidang yang memerlukan fokus sentiasa berada pada tahap tertinggi, seperti di sektor kesihatan.
Tiada angin tiada ribut, anda mungkin perlu melayan kehadiran pesakit atau melaksanakan tugas tertentu secara mengejut. Seperti yang kita semua sedia maklum, kemalangan dan kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Jadi, sedikit gangguan di tempat kerja, lagi-lagi pada waktu malam, sememangnya adalah situasi yang sangat tidak diingini oleh mana-mana petugas kesihatan.
Sebelum ini, sudah kerap kisah-kisah mistik dan seram yang berlaku di fasiliti tersebut tersebar kepada pengetahuan umum, selalunya menerusi media sosial.
Antara perkara aneh yang menyebabkan pekerja menjadi seram sejuk adalah seperti lampu berkelip kelip, suara-suara ganjil yang kedengaran dan sebagainya.
Contohnya, situasi yang dikongsikan oleh lelaki ini yang mendakwa seolah-olah ditemani entiti ghaib ketika bertugas pada waktu syif malam.
Menerusi akaun TikTok, Nuvasa Lingga (ringyuki), dia berkongsi apa yang berlaku menerusi satu hantaran pada 19 September lalu.
Untuk makluman, lelaki tersebut merupakan rakyat Indonesia yang bekerja di sebuah hospital yang terletak di Jepun.
Dalam video berkenaan, lelaki tersebut sedang melakukan tugasan seperti memasang cadar katil hospital, mengemas dan sebagainya.
Ketika melaksanakan tugas seperti biasa, terdapat beberapa perkara aneh yang didakwa sebagai aktiviti paranormal berjaya dirakam.
Pada awal video, ketika dia sedang memasang penghadang pada katil pesakit, sebuah bantal didapati tiba-tiba jatuh dari tempatnya.
Bukan itu sahaja, video tersebut memaparkan saat-saat kerusi roda bergerak dengan sendirinya, lampu tandas dan paip singki terbuka sendiri dan sebagainya.
@ringyuki Gangguan penunggu yang pernah kerekam
Reaksi tenang lelaki tersebut mencuri perhatian warga maya
Menariknya, lelaki tersebut kelihatan tenang dan tidak panik apabila berhadapan dengan situasi-situasi tersebut.
Video tersebut telah meraih perhatian warga maya, khusunya dari Malaysia dan Indonesia. Setakat ini, video berkenaan telah meraih 12 juta jumlah tontonan, lebih 530,000 tanda suka dan lebih 10,000 komen daripada pengguna.
Rata-rata pengguna merasa seram sejuk apabila melihat situasi aneh tersebut secara jelas menerusi skrin peranti masing-masing.
Ada juga yang merasa kagum melihat ketenangan lelaki tersebut ketika berhadapan dengan aktiviti-aktiviti paranormal itu.
“Hati kau memang kental lah brother,” tulis pengguna @takpenting_pun.
“Bapak berani do dia, kalau aku tu memang tak la nak duduk situ,” komen pengguna @atyyqahhh__.
“Pengalaman hidup yang luar biasa ni, respect,” tulis pengguna @jangankaget76 dengan nada kagum.
BACA: Ramai Tertanya-tanya, Selepas Generasi X, Y & Z, Generasi Apa Pula? Ini Jawapannya
Sumber: ringyuki via TikTok