Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

UMS Sahkan Kejadian Pencemaran Tangki Di Kolej Kediaman
Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan bahawa terdapat pencemaran yang berlaku di salah sebuah tangki air di kolej kediaman universiti tersebut.
Dalam satu kenyataan, Pusat Komunikasi Korporat UMS menjelaskan bahawa pihaknya mengambil maklum terhadap perkara berikut.
Isu berkenaan pencemaran tangki air terbabit telah dimaklumkan menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik di media sosial.
“Susulan daripada klip video tersebut, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.
“Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS,” menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Sungguhpun begitu, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub.
Dengan ini, perkara ini tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber air utama untuk kegunaan harian pelajar di sana.
“Ekoran kejadian tersebut, JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat.
“Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS,” katanya.
Pemantauan dari semasa ke semasa ini dilakukan adalah untuk memastikan kesihatan pelajar tidak terjejas.
Perkara ini sekali gus memastikan pembelajaran serta kehidupan seharian pelajar tidak terganggu sepanjang berada di kolej kediaman.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah video berdurasi 24 saat tular di laman media sosial, TikTok berkenaan isu terbabit.
Video pendek tersebut memaparkan keadaan tangki yang menjijikkan iaitu, tangki berisi air itu telah dipenuhi ulat. Kejadian terbabit dipercayai berpunca dari bangkai seekor monyet yang sedang mereput di dalamnya.
Sumber: Sinar Harian