Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Asing Dibentang Di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023, antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada sesuatu negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan sesuatu negara daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia, dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Ia dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dilakukan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Fasal 20 dan 21 rang undang-undang itu memperuntuk penubuhan Majlis Kekebalan Negara Asing yang berfungsi antaranya untuk menimbang teliti dan memutuskan semua perkara berkaitan dengan kekebalan negara asing yang timbul daripada pelaksanaan akta ini.
Selain itu, Fasal 30 memperuntuk Perdana Menteri boleh menarik balik semua atau mana-mana kekebalan di bawah akta berkenaan terhadap mana-mana negara asing, jika beliau berpuas hati bahawa Malaysia tidak menerima apa-apa kekebalan seperti yang diberikan oleh Malaysia.
“Prinsip layanan salingan merupakan antara perkara utama dalam rang undang-undang ini. Kuasa akan diberikan kepada Perdana Menteri untuk menarik balik kekebalan yang diberikan kepada mana-mana negara asing jika negara asing itu tidak memberikan kekebalan yang sama kepada kita,” katanya.
Menurutnya penggubalan rang undang-undang itu juga mencerminkan usaha Malaysia dalam melindungi kekebalan negara asing selain memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia dengan negara asing.
Beliau berharap kewujudan undang-undang itu akan membuka hati kerajaan negara asing untuk turut memberikan kekebalan kepada Malaysia sekali gus menjamin kedaulatan Malaysia sekiranya terdapat tindakan mahkamah yang dimulakan terhadap Malaysia di negara asing tersebut.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula membentangkan Rang Undang-Undang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (Pemerbadanan) (Pindaan) 2023 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Ia antara lain bertujuan memasukkan fungsi baharu Lembaga Lebuhraya Malaysia iaitu menasihati Kerajaan Persekutuan mengenai perkara yang berkaitan dengan lebuh raya, membentuk piawaian bagi lebuh raya dan melaksanakan perancangan, reka bentuk, pembinaan, pengendalian, pengurusan serta penyenggaraan lebuh raya.
BACA: Usia Kehamilan Lebih Awal Dari Tarikh Nikah? Kemungkinan Bunting Pelamin, Ini Maksudnya
Sumber: Bernama