Siakap Keli
Disebut Dalam Dewan Rakyat, Apa yang Dimaksudkan Dengan Identiti Digital Nasional (IDN)?
Kredit: Bernama

Disebut Dalam Dewan Rakyat, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Identiti Digital Nasional

Disebut Dalam Dewan Rakyat, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Identiti Digital Nasional

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil memaklumkan pihak kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil cap jari menerusi pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN).

Bagaimanapun, masih ramai yang tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan Identiti Digital Nasional (IDN) ini?

Secara amnya, Identiti Digital (ID Digital) adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan seseorang individu secara digital.

Pengecaman identiti dilaksanakan dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik seseorang individu.

Antaranya seperti cap jari, pengecaman wajah, anak mata dan maklumat lain seperti demografik (nama, umur, bangsa dan sebagainya).

Ciri-ciri ini akan digunakan bagi membina sistem perkhidmatan digital yang selamat, memiliki tahap jaminan keselamatan yang tinggi serta telus.

Identiti Digital Nasional (IDN)
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), IDN dapat menjimatkan masa, selamat dan terjamin.

Menerusi IDN juga, ia juga memudahkan rakyat ketika berurusan sama ada secara bersemuka atau jarak jauh dengan penyedia perkhidmatan digital yang terdiri daripada perkhidmatan kerajaan dan juga sektor swasta.

“Orang ramai boleh mengakses dan melakukan pelbagai transaksi tanpa perlu mengingati pelbagai ID pengenalan dan kata laluan.”

Sungguhpun begitu, IDN tidak akan menggantikan dokumen pengenalan diri, MyKad sebagai bukti kewarganegaraan seseorang individu.

Sebaliknya, sistem identiti maya ini akan melengkapi dokumen pengenalan diri yang sedia ada dan boleh digunakan ketika melakukan transaskasi secara atas talian.

Identiti Digital Nasional (IDN)
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

IDN memberi kesan positif terhadap pelbagai pihak di Malaysia

Dalam pada itu, perlaksanaan IDN ini dianggap memberikan kesan positif terhadap pelbagai pihak, merangkumi pelbagai sektor di Malaysia.

Perlaksanaan ini dapat memberi sokongan terhadap perkhidmatan digital untuk menjadi lebih efisien dan dipercayai.

Selain itu, perlaksanaan IDN pada masa yang akan datang diramal dapat menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan bagi menambah baik kualiti kehidupan rakyat.

Perkara ini turut memberi nilai tambah terhadap kadar pertumbuhan ekonomi digital merangkumi  pelbagai sektor perkhidmatan.

Antara sektor perkhidmatan yang mendapat manfaat adalah seperti  perkhidmatan awam, kewangan, e-dagang, e-dompet, e-kesihatan serta lain-lain.

Seterusnya, IDN juga memberikan kebolehan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan tanpa halangan dari segi sempadan dan masa.

Jelas SKKM, perkara ini lebih diperlukan pada masa kini rentetan kesan pandemik Covid-19 yang menyebabkan urusan perkhidmatan konvesional menjadi terbatas.

Ekoran itu, keterbatasan ini telah mencipta norma baru dalam perlaksanaan kerja, pembelajaran, transaksi dan lain-lain.

Identiti Digital ini sudah lama digunapakai di luar negara

Dalam pada itu, identiti digital sebenarnya bukan perkara baru dan sudah dilaksanakan oleh kerajaan di banyak negara. Antaranya di United Kingdom, Estonia, Kanada dan India.

Perlaksanaannya telah memberi kemudahan kepada orang awam di negara–negara tersebut bagi mendapatkan perkhidmatan secara sistematik.

Semua urusan yang memerlukan pengesahan identiti menjadi lebih mudah apabila mereka dapat menggunakan identiti digital kerana tidak lagi perlu hadir ke mana-mana premis secara fizikal.

Sebagai contoh, warga Estonia tidak lagi perlu hadir ke bank untuk pengesahan identiti ketika membuka akaun bank dengan adanya perlaksanaan identiti digital.

Bukan itu sahaja, rakyat negara tersebut boleh mendapatkan konsultasi doktor dan mendapatkan preskripsi ubat-ubatan dalam talian berdasarkan rekod kesihatan yang tertera dalam identiti digital.

Pelbagai urusan seperti transaksi penyewaan hartanah, mengundi dalam talian, e-pembelajaran dan lain-lain juga menjadi lebih mudah dengan identiti digital.

BACA: Dah Berhenti Tapi Bau Masih Tersisa? Ini Tips Untuk Hilangkan Bau Rokok Dalam Kerata

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.