Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) perlu meneroka satu inisiatif yang lebih berimpak melalui pewujudan “Repositori Digital Cerita Malaysia” sebagai khazanah digital nasional. Perkara tersebut dinyatakan oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara semasa menyempurnakan perasmian Festival Penceritaan Malaysia 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
YB Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapannya berkata “Inisiatif ini akan menjadikan PNM bukan sahaja sebagai penjaga bahan terbitan negara, tetapi turut berperanan sebagai penjaga memori dan suara bangsa agar cerita-cerita yang membentuk identiti Malaysia tidak hilang ditelan zaman di samping terus menjadi sumber ilmu, penyelidikan dan inspirasi untuk generasi masa hadapan”.
Selain itu, beliau juga turut menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada penceritaan manusia semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara beretika bagi memperluas kreativiti dan penyampaian di samping mempertahankan keaslian, integriti dan nilai kemanusiaan dalam setiap penceritaan.
“Penceritaan Sebagai Warisan Masyarakat Berilmu” telah diangkat sebagai bagi tema festival yang buat julung kalinya diadakan ini dalam menyemarakkan budaya penceritaan, memperkasa budaya ilmu, serta memastikan warisan dan khazanah bangsa terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Program anjuran PNM ini berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 September 2026 dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Pelbagai pengisiaan menarik disediakan kepada para pengunjung seperti Bicara Ilmu, podcast, sesi bercerita, bengkel teknik bercerita, animasi dan komik digital, penulisan dan ilustrasi buku serta pertandingan bercerita.

