Siakap Keli
Bapa bayi rentung meninggal dunia
Kredit Bomba/Facebook

Lapan Hari Bertarung Nyawa, Bapa Kepada Bayi Rentung Dalam Kemalangan Meninggal Dunia

Lapan Hari Bertarung Nyawa, Bapa Kepada Bayi Rentung Dalam Kemalangan Meninggal Dunia

Bapa kepada bayi berusia tujuh bulan yang rentung dalam kemalangan pada 27 November lalu di Kilometer 69, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai dilapor meninggal dunia, lapor Sinar Harian.

Mangsa yang berusia 28 tahun dilapor meninggal dunia pagi tadi, selepas lapan hari bertarung nyawa ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, mangsa meninggal dunia pada jam 10.45 pagi tadi. Mangsa dirawat di unit rawatan rapi (ICU) HRPZII.

Mangsa sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan melecur sebanyak 80 peratus pada anggota badannya selepas terlibat dalam nahas tersebut.

“Arwah sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai. Sebelum dipindahkan ke HRPZII atas permintaan ahli keluarga.

“Mangsa ketika itu masih berada dalam keadaan kritikal dan dipantau rapi oleh doktor. Selain perlu bergantung sepenuhnya kepada mesin bantuan pernafasan,” katanya kepada pemberita.

BACA: Bayi Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran Kereta

Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang merupakan bapa kepada bayi yang maut dalam kebakaran kereta itu berada dalam keadaan kritikal.

Mangsa pada awalnya dimasukkan ke Hospital Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai sebelum dipindahkan ke HRPZII, Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan segera.

Menurut Sinar Harian, mangsa melecur di seluruh badan selepas kereta Honda Jazz yang dinaiki bersama isteri dan bayi terbakar selepas merempuh pembahagi jalan di lokasi nahas berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka