Siakap Keli
harry maguire pemain terbaik epl
Gambar: AFP

Buat Kali Pertama, Harry Maguire Menang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan EPL

Buat Kali Pertama, Harry Maguire Menang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan EPL

Tonggak pertahanan Manchester United (MU), Harry Maguire dilapor mendapat undian tertinggi dan memenangi Anugerah Pemain Terbaik EPL bagi bulan November.

Berita gembira berkenaan dikongsikan oleh wartawan sukan ternama, Fabrizio Romano menerusi satu hantaran di X sebentar tadi.

Kejayaan itu sangat manis kerana ini adalah kali pertama pemain kesayangan peminat MU itu memenangi anugerah berkenaan. Malah, saingan untuk merebut anugerah tersebut juga bukan calang-calang pemain.

Nama-nama lain yang turut dicalonkan untuk anugerah bulanan itu adalah Jeremy Doku (Manchester City), Thomas Kaminski (Luton) dan Raheem Sterling (Chelsea).

Harry Maguire menang Anugerah Pemain Terbaik Bulanan EPL

Dua lagi calon adalah Marcus Tavernier (Bournemouth) dan Anthony Gordon (Newcastle).

Terdahulu, Maguire mula disenaraikan sebagai kesebelasan utama MU selepas krisis kecederaan yang melanda bahagian pertahanan kelab berkenaan.

Sejak itu, Maguire mempamerkan aksi cemerlang dan terbilang apabila berjaya mengemudi benteng pertahanan dengan baik sepanjang aksi liga pada November.

Dalam tiga perlawanan liga yang mana Maguire beraksi penuh semuanya, MU berjaya mengutip sembilan mata penuh tanpa sebarang bolos.

MU berjaya mencatatkan keputusan 1-0 ketika menentang Fulham dan Luton Town. Manakala kelab itu merekodkan kemenangan 3-0 ketika bertandang ke Goodison Park menentang Everton.

Kejayaan itu berjaya membantu memperbaiki kedudukan The Red Devils dalam carta liga untuk mendaki sehingga ke tangga keenam.

Aksi cemerlang sepanjang November bantu MU tak bolos di liga

Malah, pengurus pasukan, Erik ten Hag juga menghemburkan pujian di atas persembahan yang ditunjukkan oleh anak buahnya itu.

“Dia memainkan peranan yang sangat penting dan persembahannya sangat bagus. Maguire menunjukkan kualiti sebagai seorang pemimpin sama ada ketika (MU) mengawal permainan atau dalam kawalan lawan, sangat baik.

“Saya sangat gembira dengan persembahan yang ditunjukkan Maguire,” kata ten Hag.

Menurut Premier League, statistik November menunjukkan Maguire berkongsi kedudukan teratas sebagai pemain pertahanan yang mencatatkan jumlah hadangan tertinggi.

Manakala, beliau juga berada di kedudukan kelima statistik pemain yang terbanyak mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Hasil daripada usaha keras yang ditunjukkan di atas padang, Maguier kemudian disenaraikan antara calon untuk memenangi anugerah pemain terbaik bulanan.

BACA: Man United Ajak Undi Harry Maguire Sebagai Pemain Terbaik Bulanan EPL

Sumber: Fabrizio Romano

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.