Siakap Keli
lee sun-kyun meninggal
Gambar: ANGELA WEISS/AFP

Pelakon “Parasite”, Lee Sun-kyun Meninggal Dunia

Pelakon “Parasite”, Lee Sun-kyun Meninggal Dunia

SEOUL —  Pelakon terkenal Korea Selatan, Lee Sun-kyun dilaporkan meninggal dunia, lapor Soompi.

Berita duka itu disahkan oleh polis tempatan selepas pelakon filem Parasite itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kenderaannya di Taman Waryong di daerah Jongno, Seoul.

“Kami telah mengenal pasti lelaki yang meninggal dunia sebagai pelakon Lee Sun Kyun,” maklum pihak polis menerusi perkongsian saluran media SPOTV.

Difahamkan, sewaktu ditemui, pelakon itu didapati sudah tidak memberikan sebarang respon.

Dalam pada itu, isteri Lee Sun Kyun, Jeon Hye Jin telah menghubungi pihak polis selepas suaminya dipercayai meninggalkan nota dan keluar dari rumah, lapor portal Koreaboo.

Hye Jin yang juga seorang pelakon melaporkan kepada pihak polis bahawa suaminya meninggalkan rumah pada jam 10.12 pagi waktu tempatan.

Sementara itu, Agency Press France (AFP) menerusi agensi berita Yonhap turut melaporkan penemuan mayat bintang drama Pasta itu  hari ini.

BACA JUGA: 26 Disember, Mengenang Kembali Tragedi Tsunami Aceh 2004

Sebelum ini, pelakon berusia 48 tahun itu masih berada di bawah siasatan pihak polis berhubung dakwaan penyalahgunaan dadah. Berikutan itu, pelakon terbabit telah digugurkan daripada projek televisyen dan komersial.

Dia dalam satu laporan pada Oktober lalu turut menzahirkan permohonan maaf terhadap isu berkenaan sebelum hadir ke balai polis Incheon bagi berjumpa dengan pegawai penyiasat.

“Saya dengan tulus memohon maaf kerana membuatkan orang ramai kecewa berhubung penglibatan yang kurang menyenangkan ini.

“Saya bersimpati dengan keluarga saya yang terpaksa menanggung penderitaan ketika ini. Sekali lagi, saya memohon maaf kepada semua orang,” katanya.

Untuk makluman, Lee Sun-kyun dan Jeon Hye Jin telah mendirikan rumah tangga pada 2009 dan telah dikurniakan dua cahaya mata.

Karier Lee Sun-kyun

Lee Sun-kyun merupakan lulusan Universiti Seni Kebangsaan Korea Selatan. Dia membuat penampilan sulungnya dalam industri lakonan pada 2001 dalam sitkom televisyen bertajuk “Lovers”.

Keterampilannya dalam membawakan pelbagai watak menaikkan namanya sebagai seorang pelakon. Pada 2019, pelakon itu juga berjaya menempa nama di persada seni perfileman antarabangsa menerusi filem arahan Boong Joon-ho, Parasite yang  merangkul Anugerah Oscar.

Filem “Sleep” menjadi filem terakhir yang dilakonkannya pada tahun ini dengan memegang peranan sebagai seorang suami yang berjalan sambil tidur.

Sumber: Soompi, Koreaboo, AFP

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?