Siakap Keli
AS UK serangan laut merah
Kredit: AFP

Serangan Ke Atas Houthi Didakwa Untuk Redakan Ketegangan Di Laut Merah

Serangan Ke Atas Houthi Didakwa Untuk Redakan Ketegangan Di Laut Merah

Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) bersama lapan negara sekutu berkata serangan ke atas Houthi di Yaman adalah untuk mengembalikan kestabilan di Laut Merah.

10 negara tersebut berkata demikian dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, lapor AFP.

Selain AS dan UK, lapan negara lagi adalah Australia, Bahrain, Kanada, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand dan Korea Selatan.

“Tujuan kami adalah  untuk meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan di Laut Merah.

“Mesej kami jelas bahawa kami tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan nyawa dan memastikan perairan yang menjadi laluan perdagangan bebas dari menghadapi ancaman berterusan,” kata kenyataan itu.

Semalam, AFP melaporkan AS dan United Kingdom UK melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Houthi, di bandar-bandar Yaman.

Memetik agensi berita itu, serangan melibatkan penggunaan pesawat pejuang dan peluru berpandu Tomahawk.

Dalam pada itu, sumber Houthi dan saksi pula berkata, serangan itu menyasarkan beberapa bandar di Yaman yang dikawal kumpulan itu.

Houthi dilapor mengawal sebahagian besar Yaman sejak perang saudara meletus pada tahun 2014.

Sebelum ini, AS dan sekutunya memberi amaran kepada Houthi agar menghentikan serangan ke atas kapal-kapal yang melalui laluan Laut Merah tersebut.

AS dilapor menubuhkan sebuah pakatan antarabangsa yang dinamakan Operasi Kesejahteraan pada Disember lalu.

Operasi itu bertujuan untuk melindungi trafik maritim di kawasan itu yang merupakan antara laluan perdagangan terpenting di dunia.

Bagaimanapun, serangan Houthi pada Selasa lepas didakwa menyebabkan AS dan negara sekutunya tidak dapat berdiam diri lagi.

Dalam serangan pada Selasa itu, AS dan UK menembak jatuh sebanyak 18 drone dan tiga peluru berpandu.

Serangan ke atas Houthi didakwa untuk redakan ketegangan di Laut Merah

AS dan UK kemudian bertindak melancarkan serangan susulan sebuah kapal dagang di laluan tersebut didakwa diserang menggunakan peluru berpandu balistik anti-kapal oleh Houthi.

Negara kuasa dunia itu mendakwa, serangan pada Khamis itu merupakan serangan ke-27 yang dilancarkan ke atas laluan perdagangan antarabangsa berkenaan sejak 19 November 2023.

Peningkatan serangan itu memaksa banyak syarikat perkapalan mengelak daripada melalui laluan tersebut.

Kapal-kapal sebaliknya terpaksa melalui laluan lebih jauh di sebelah Afrika Selatan, sekaligus menimbulkan kebimbangan berkenaan kesan kepada ekonomi global.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu turut mendesak agar serangan di Laut Merah dihentikan segera.

BACA: Jangan Terkeliru, Rupanya Ini Beza Kedua-dua Logo UiTM Ini

Sumber: AFP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma