Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kadar Upah Penghantar p-Hailing: Kerajaan Tak Masuk Campur
KUALA LUMPUR — Kerajaan MADANI tidak akan mencampuri isu pembayaran upah bagi pekerja gig terutamanya melibatkan semua petugas p-hailing ketika ini, lapor Sinar Harian.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sewaktu mengulas mengenai aduan penunggang p-hailing yang terpaksa berhadapan dengan upah yang rendah.
Kata Fahmi, kadar pembayaran upah tersebut adalah di bawah tanggungjawab setiap syarikat penyedia perkhidmatan.
Tidak seperti syarikat telekomunikasi dilesenkan, Fahmi menegaskan syarikat p-hailing bukan dalam bidang kuasa pelesenan kerajaan.
“Bagaimanapun kita sedia maklum sektor ekonomi gig ini adalah sangat dinamik dan berubah mengikut keadaan ekonomi bagi syarikat-syarikat tersebut.
“Jadi dari satu sudut, jalan tengah yang kita pilih adalah untuk mengumpulkan pelbagai pihak untuk duduk berbincang mencari jalan penyelesaian bersama dengan beberapa cadangan yang pernah diutarakan pada mesyuarat Ogos tahun lalu,” katanya.
Sebelum ini, sebanyak lima tuntutan telah dikemukakan oleh Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia kepada syarikat p-hailing.
Pertemuan itu telah diadakan di Ibu Pejabat Grab Malaysia pada Jumaat.
Menurut timbalan presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani, isu utama yang diutarakan dalam tuntutan itu adalah pihak syarikat mengembalikan upah penghantar kepada yang asal berbanding sekarang hanya RM1 ke RM3.50.
Mengulas mengenai perkara itu, Fahmi mengakui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama 24 buah wakil syarikat p-hailing pada Ogos tahun lalu.
“P-hailing adalah konsep ‘free market’, tapi masa yang sama ada beberapa perkara yang kita tegaskan termasuk aspek keselamatan sosial bagi para pekerja.
“Jadi di situ kita lihat ada beberapa perkara asas, tapi di waktu ini kerajaan tidak mencampuri urusan tersebut secara langsung.
“Kita ambil pendirian untuk adakan perbincangan tetapi keputusan itu adalah kepada penyedia perkhidmatan,” ujarnya.
Katanya lagi, para penunggang perlu membuat pilihan sama ada ‘pergi’ sekiranya ada syarikat lain mungkin boleh menyediakan kadar upah yang tinggi kepada mereka.
“Kita ingin memupuk daya saing dalam kalangan syarikat yang terlibat dalam ekonomi gig dan keputusan waktu ini terletak pada penyedia perkhidmatan dan para riders.
“Buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan atau pendirian untuk mencampuri secara langsung dalam beberapa perkara berkenaan kecuali syarikat-syarikat p-hailing dilesenkan.
“Perkara asas di sini para pekerja mesti dijaga dari keselamatan sosial mereka dan perkara ini saya sudah panjangkan kepada Menteri Sumber Manusia dan juga Menteri Digital.
“Pekerja ekonomi gig khususnya riders mungkin boleh disediakan pencen ilat atau penakat kerana saya lihat pekerjaan seperti ini walaupun ekonomi gig rata-rata mereka dah bekerja lama sehingga lima enam tahun, itu bukan ‘part time’, tapi ‘part time all the time’,” selorohnya.
Sumber: Sinar Harian