Siakap Keli
keluarga bella terima kasih polis
Kredit: Bernama

Keluarga Bella Zahir Ucapan Terima Kasih Atas Komitmen Polis

Keluarga Bella Zahir Ucapan Terima Kasih Atas Komitmen Polis

BATU PAHAT, 24 Jan (Bernama) –– Ahli keluarga mangsa bunuh, Mila Sharmilah Samsusah atau dikenali sebagai Bella menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak polis atas komitmen dalam menjalankan siasatan kes kehilangan wanita itu sejak Disember tahun lepas.

Bapa saudara Bella, Nor Azhar Jamil, 55, berkata semua ahli keluarga terkesan setelah kehilangan Bella yang berkesudahan dengan penemuan rangka manusia di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini baru-baru ini.

Katanya, seluruh keluarga berharap pelaku yang menyebabkan kematian Bella yang juga ibu tunggal dua anak itu akan menerima hukuman yang setimpal.

“Selepas 38 hari kehilangan Bella akhirnya berkesudahan dengan berita menyedihkan menyebabkan kakaknya, Norisham, 36, amat terkesan dengan pemergian adik bongsunya itu.

“Kami juga akan mengikuti sepenuhnya kes ini sehingga tamat demi keadilan untuk Bella,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, teman lelaki Bella, 25, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh wanita itu antara 11 malam, 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Dis tahun lepas di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nor Azhar bersama ahli keluarga Bella yang lain turut hadir di mahkamah seawal kira-kira 7.45 pagi bagi mendengar prosiding itu.

Pada Jumaat lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani di sini, selepas dipandu arah oleh seorang daripada suspek utama kes kehilangan Bella.

Pada 14 Dis tahun lepas, Bella dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran dan gagal dihubungi sejak itu.

BACA: Mudah & Pantas, Tip Nak Hilangkan Rasa Pijar Cili Pada Tangan

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma