Siakap Keli
ahli parlimen pn sokong anwar
Gambar: BERNAMA

Sanusi Harap Tiada Lagi Ahli Parlimen PN Sokong Anwar

Sanusi Harap Tiada Lagi Ahli Parlimen PN Sokong Anwar

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berharap tiada lagi ahli parlimen dalam partinya menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lapor Sinar Harian, Sanusi juga berharap Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang baru-baru ini mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar menjadi pemimpin terakhir dari partinya yang melakukan siri perubahan sokongan.

“Perkara sebegini berlaku sebab dia dibiar ‘kelaparan’ sehingga berlaku tekanan di kawasan. Orang tuntut macam-macam tapi dia tak ada kemampuan jadi bila dia letih, terpaksa lah (bertukar sokongan).

“Saya harap itu yang terakhirlah. Orang pun taklah gila semua atas dunia ni dah jadi wakil rakyat tak ada bajet, jadi tekanan kat dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena.

Dalam pada itu, Sanusi berkata dirinya sememangnya telah terbiasa menjadi wakil rakyat yang susah.

BACA: Sokong Anwar Ibrahim, Keahlian Iskandar Dzulkarnain Dalam Bersatu Digantung 4 Tahun

“Jadi wakil rakyat ini kena bersedia untuk susah, bersedia untuk derita kalau bahagia Alhamdulillah, kalau derita sudah disiapi,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan Zulkafperi telah mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, Zulkafperi Hanapi menyatakan sokongan itu setelah menyedari keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.

Beliau berkata keputusan itu adalah untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di kawasan Parlimen Tanjong Karang terus terbela selain mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif kerajaan MADANI yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi serta kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Zulkafperi bagaimanapun berkata beliau masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati parti.

Sumber: Sinar Harian

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: