Siakap Keli
produk terbaru khairul aming
Gambar: Live Khairul Aming

Produk Terbaru Khairul Aming “Sold Out” Dalam Tempoh 3 Minit

Produk Terbaru Khairul Aming “Sold Out” Dalam Tempoh 3 Minit

Seperti yang dijangka, produk terbaru Khairul Aming, Dendeng Nyet Berapi telah habis dijual dalam tempoh singkat iaitu tiga minit 39 saat.

Malah rekod baharu tercipta apabila dia berjaya mendapat hasil jualan RM1.2 juta terpantas di TikTok Shop Malaysia.

Menerusi siaran langsung di TikTok, Khairul Aming bagaikan tidak percaya kerana 80,000 unit produk tersebut terjual dalam tempoh yang singkat.

Usahawan dan pempengaruh berusia 31 tahun itu juga meluahkan rasa syukur kerana dia dan pasukannya bekerja keras selama setahun untuk mengeluarkan produk tersebut.

Gambar: Live Khairul Aming

BACA: Khairul Aming Lancar Produk Kedua Selepas Sambal Nyet 2 Februari Ini

“Alhamdulillah terima kasih semua,” katanya.

Untuk pengetahuan, seorang pembeli hanya boleh mendapatkan enam paket sahaja pada malam ini. Namun, jelas sekali ramai yang tidak sempat membelinya dan meminta agar Khairul Aming menjual lagi produk itu dalam tempoh waktu yang terdekat.

Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan bahawa setakat ini pihaknya perlu menyelesaikan postage 80,000 unit itu terlebih dahulu dan jualan yang seterusnya akan dibuka selepas Tahun Baharu Cina.

Dalam siaran langsung di TikTok, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan dan stafnya yang turut menyumbang kepada kejayaannya itu.

Gambar: Live Khairul Aming
Gambar: Live Khairul Aming

BACA JUGA: Khairul Aming Kongsi Cara Makan & Simpan Dendeng Nyet Berapi

Sebelum ini, dia memaklumkan bahawa jualan produk pertamanya iaitu Sambal Nyet telah mencecah RM20 juta bagi tahun 2023.

Difahamkan, ia merupakan peningkatan lebih 40 peratus berbanding tahun 2022.

Jelasnya lagi, bagi produk terbaru, ia telah memakan modal lebih dari RM2 juta untuk persiapan mesin dan ubahsuai  kilang.

We hope you will like it, kalau ada kekurangan boleh inform kita untuk penambahbaikan,” tulisnya di laman X sebelum ini.

Khairul Aming atau Khairul Amin Kamarulzaman mula mencipta nama menerusi video masakan dan sangat sinonim dengan bulan puasa kerana dia berkongsi resipi-resipi yang menarik kepada orang ramai.

Menjadi pempengaruh yang disukai oleh rakyat Malaysia, dia telah dinobatkan sebagai Pencipta Kandungan Tahun Ini dalam Anugerah TikTok Malaysia 2023.

Sumber: Khairul Aming

Sofea

There's always another side to every story