Cara Tanam Sendiri Bawang Merah Kecil, Daun Kuning Dah Boleh Tuai
Peningkatan kos sara hidup pada hari ini menjadi satu tekanan yang dirasai oleh semua pihak.
Ketika ke pasar raya membeli-belah, ramai yang merasakan kuasa membeli semakin mengecil dari semasa ke semasa.
Misalnya ketika membeli barang basah, sesetengah sayur-sayuran yang diimport dari luar negara, harga jualannya tak menentu.
Lebih-lebih lagi ketika negara pengeluar sayur-sayuran tersebut dilanda bencana alam atau konflik.
Maka, harga produk tersebut boleh meningkat naik akibat bekalan yang berkurangan.
Jadi, jika boleh berjimat, memang ramai akan yang memilih untuk berjimat-cemat dan membuat pembelian melibatkan barang keperluan sahaja.
Antaranya, ada yang mula berjinak-jinak dalam aktiviti bercucuk tanam skala kecil, bermula dengan menanam sayur-sayuran sendiri.
Sebenarnya, banyak sayur-sayuran yang boleh ditanam dan tidak memerlukan kawasan tanah yang luas.
Sebagai contoh, anda boleh mula menanam cili, sayur terung, tomato, kobis, bawang dan macam-macam lagi.
Selain mudah dijaga, tanaman seperti ini juga tidak memerlukan kos yang tinggi untuk ditanam.
Bercakap soal bawang, pernah terfikir tak bahawa bawang sebenarnya boleh ditanam di tepi rumah sahaja.
Akan tetapi, untuk mendapatkan hasil yang banyak, terdapat teknik yang betul perlu digunakan untuk menanam bawang tersebut.
Justeru, SK pada hari in ingin berkongsi tip menarik cara menanam bawang yang pasti menjadi.
Perkongsian tip tanaman bawang itu telah dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Misnah Olo di kumpulan Berkebun D Rumah.
Lepas 3 bulan dah boleh tuai hasil
Menurut Misnah, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan menyediakan bawang.
Bawang itu pula dipotong sedikit di bahagian atas supaya daun bawang dapat tumbuh.
Penyediaan tanah pula adalah menggunakan dua campuran tanah seperti tanah hitam sawit dan tanam merah sedikit.
“Tanah saya guna tanah hitam sawit campur tanah merah sikit. Tanah mesti peroi dan serap air,” tulis Misnah.
Tambahnya lagi, bawang ditanam secara sebiji-sebiji dan dibenamkan sedikit ke dalam tanah.
“Bawang tanam sebiji-sebiji, benamkan sikit jangan dalam sangat. Jarakkan supaya buah keluar banyak.
“Tanam direct panas hujan. Siram dua kali sehari. Masa awal tumbuh air mesti cukup.
“Baja dua minggu sekali. Bila dah keluar bawang tu saya siram sekali sehari je. Air tak boleh lebih ya nanti buah busuk.
“Anggaran saya tanam dalam tiga bulan dah boleh tuai. Paling penting daun bawang jangan petik.
“Nanti tak jadi bawang. Bila daun dah mula menguning kering sikit-sikit dah boleh tuai. Selamat mencuba,” tulis Misnah lagi.
Macam mana, menarik bukan? Lepas ini, anda bolehlah tanam sendiri bawang dekat rumah.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: Facebook/Misnah Olo