Siakap Keli
54 peratus pegawai perubatan awam
Kredit: Bernama

54 Peratus Pegawai Perubatan Tinggalkan Sektor Awam Pada 2022

54 Peratus Pegawai Perubatan Tinggalkan Sektor Awam Pada 2022

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) — Sebanyak 54 peratus daripada 100,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 atas faktor menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata menerusi kajian yang dibuat, didapati 45 peratus daripada jumlah itu bekerja di luar negara.

“Selain itu, 28 peratus (meninggalkan perkhidmatan awam) disebabkan alasan peribadi, menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (enam peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu punca pegawai perubatan berhenti daripada sektor awam pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dzulkefly berkata kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan pegawai perubatan kekal bersama sektor awam antaranya menetapkan gaji permulaan pegawai kontrak gred UD41 sebanyak RM5,197, iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan awam lain.

Selain itu, kerajaan meningkatkan jumlah 9,822 pegawai lantikan tetap dalam tempoh 2019 – 2023, dengan pertambahan sebanyak 6,000 orang lagi untuk 2024 – 2025.

Dzulkefly berkata kerajaan juga menyediakan insentif penawaran pengajian kepakaran menerusi kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan Hadiah Latihan Persekutuan dan Program Latihan Kepakaran.

Pada masa sama, beliau meminta semua pihak untuk tidak membuat andaian berhubung skim pencen penjawat awam dan menunggu sehingga keputusan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang dilaksanakan pada masa ini diumumkan.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengenai perancangan jangka pendek dan panjang kementerian bagi menarik minat graduan perubatan untuk kekal berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara susulan kajian menghapuskan skim pencen penjawat awam.

BACA: Buat Sendiri Kat Rumah, Ini Resipi Donat Gebu Gebas Perlu Dicuba

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma