Siakap Keli

KKR Dan MOSTI Jalin Kerjasama Bagi Memperkasa Program MyJalan

KKR Dan MOSTI Jalin Kerjasama Bagi Memperkasa Program MyJalan

KUALA LUMPUR: Selari aspirasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada  transformasi digital, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menjalinkan kerjasama  strategik bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi  memperluaskan adaptasi teknologi di dalam aspek penyenggaraan infrastruktur jalan  dan sektor pembinaan. 

Program Sandbox ini akan menjadi platform bagi mengintegrasikan teknologi, kajian  pembinaan dan penyelenggaraan jalan agar dapat dilaksanakan secara inklusif di  seluruh negara. 

Program ini juga dapat memberi ruang dan peluang kepada pemain industri  mengetengahkan inovasi dan teknologi mereka dalam ruang lingkup bidang kuasa  KKR. 

Atas dasar itu, satu perjumpaan telah diadakan di antara YB Menteri Kerja Raya,  Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengurusan tertinggi KKR serta agensi, dan  pengurusan tertinggi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan  agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di ibu pejabat KKR semalam. 

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu, pasukan MOSTI telah membentangkan  inisiatif Sandbox dan pencapaian program terdahulu yang telah memberi impak  kepada ekonomi dan rakyat. Antara pencapaian yang diketengahkan termasuklah  Sandbox Pembinaan bersama Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia  (CREAM) dan Kotak Pintar Lebuhraya Pintar bersama PLUS. Kedua-dua Sandbox  ini berperanan sebagai pemangkin kepada penyelesaian masalah di lapangan bagi  meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. 

Selari aspirasi program MYJalan, KKR dan MOSTI juga telah berbincang peluang  kerjasama bagi inisiatif Sandbox ini dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi  bagi menyelesaikan isu-isu penyenggaraan jalan raya termasuk dalam aspek  pengawalseliaan. 

Program MyJalan

YB Dato Sri Alexander berkata melalui program Sandbox, inovasi yang dihasilkan oleh  KKR dan agensi di bawahnya juga dapat diketengahkan.

“Melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya  (CREaTE) dan CREAM, yang menerajui kajian dan inovasi sektor penyenggaraan  infrastruktur dan pembinaan, pelbagai hasil inovatif telah mendapat pengiktirafan  di peringkat antarabangsa. Produk-produk ini berpotensi untuk diketengahkan dan  digunakan secara meluas oleh sektor-sektor yang terlibat,” katanya. 

YB Dato Sri Alexander berkata, melalui kerjasama bersama MOSTI ini, KKR berhasrat  untuk melaksanakan program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar yang akan  menyelesaikan pelbagai isu berkaitan jalan raya, termasuk perabot jalan. 

“Ini termasuklah melihat kepada teknologi pembinaan jalan yang menggunakan bahan  yang lebih berdaya tahan, tampalan jalan yang lebih berkualiti dan tahan lama,  teknologi perabot jalan yang dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan  raya dan sebagainya. Ini sejajar dengan semangat Program MYJalan yang  diketengahkan oleh KKR,” katanya. 

Perbincangan ini turut dihadiri oleh Dato’ Zahrul Hakim Abdullah Timbalan Ketua  Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua  Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan Timbalan Ketua  Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Boniface Anak Edwin Manung  Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknolologi dan Pengkomersialan R&D  (PTK) dan Mohd Safuan Mohd Zairi Ketua Pembangunan Ekosistem MRanti. 

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa