Siakap Keli
ketahui apa itu "sploot"
Kredit: Bing AI

Ketahui Apa Itu “Sploot” & Kenapa Si Bulus Anda Sering Melakukannya

Ketahui Apa Itu “Sploot” & Kenapa Si Bulus Anda Sering Melakukannya

Bagi pemilik-pemilik ‘majikan’ berbulu di rumah anda, sudah semestinya anda tidak akan pernah jemu dengan segala tindak tanduk daripada haiwan ini.

Walaupun tindakannya kadang-kadang menyakitkan hati, tetapi aksi comel dan manjanya mampu menghilangkan segala duka dan lara yang terbuku dalam hati.

Haiwan ini ada kalanya merosakkan barangan kesayangan kita seperti sofa, pasu, botol minyak wangi, pinggan dan sebagainya.

Akan tetapi, kucing juga merupakan salah satu sahabat baik yang sering menemani kita ketika waktu senang ataupun sukar. Sungguhpun tidak berbuat apa, haiwan berbulu ini sudah pasti mewarnai hari-hari anda di rumah.

Salah satu posisi comel yang sering dilakukan oleh kucing adalah ‘Sploot’. Bagi yang belum tahu, ia adalah satu posisi kucing yang mirip seperti meniarap dengan kaki belakang melunjur dalam keadaan lurus ke belakang.

Posisi ini sangat comel kerana haiwan kesayangan anda akan meletakkan bahagian perut pada lantai dan matanya akan melilau ke merata-rata tempat.

Menariknya, terdapat beberapa sebab mengapa haiwan kesayangan anda gemar untuk berehat dalam posisi ini.

1. Haiwan peliharaan anda suka meregangkan badannya

Seperti manusia, ketika kucing anda meregangkan badannya, ini akan membebaskan tekanan pada badannya dan membantunya untuk berehat.

Anda mungkin perasan, sebaik selepas anda bermain dengannya, si bulus ini akan mengenakan posisi sploot ketika berehat.

Dengan menghalakan kaki mereka ke arah belakang, ini membuka bahagian pinggul mereka dan melepaskan ketegangan yang dialami semasa meregangkan otot pada bahagian kaki.

kucing sploots
Kredit: Bing AI

2. Posisi ini memberikan keselesaan buat para kucing

Berbeza dengan sifat badan manusia yang kurang fleksibel, kucing merupakan sejenis haiwan yang sangat fleksibel. Ini adalah penting buat haiwan ini untuk mengawal berat badannya pada paras yang sihat.

Jika difikirkan balik, kucing dapat membersihkan hampir keseluruhan badannya dengan mudah. Oleh sebab sifat fleksibel yang dimiliki secara semula jadi, haiwan tersebut tidak mengalami sebarang ketidakselesaan sewaktu berehat dalam posisi ini.

Cuma, posisi ini akan mendatangkan rasa ketidakselesaan kepada manusia, jika mereka cuba untuk meniru posisi yang digemari kucing kesayangan mereka.

3. Kucing meregangkan badan untuk menyejukkan badan

Selain selepas menggunakan tenaga untuk berlari-lari di sekeliling rumah anda, kucing akan berada dalam posisi ‘sploot‘ ketika keadaan cuaca panas.

Perbuatan ini akan kelihatan jelas apabila kucing kesayangan anda berbuat demikian di atas permukaan yang sejuk seperti lantai jubin, simen dan sebagainya.

‘Sploot’ berfungsi untuk menyejukkan badan haiwan ini, selain menampakkan ia comel di mata tuannya dengan lambaian ekornya yang mencairkan hati semua pihak.

Ketika berehat, posisi ini juga bertindak sebagai satu teknik untuk menyejukkan dan memastikan suhu dalaman badan kucing anda dalam keadaan normal.

Untuk makluman, anak kucing dan kucing pada usia muda lebih cenderung untuk berehat dalam posisi ‘sploot‘. Hal ini disebabkan sendi-sendinya masih berada dalam keadaan baik dan sihat.

Kredit: Bing AI
kucing sploots
Kredit: Bing AI

Secara umumnya, posisi meniarap atau ‘sploot‘ ini adalah satu perkara yang lazim dan normal dalam kalangan kucing-kucing di seluruh dunia.

BACA: Baru Bertukar Ke Simpanan Shariah, Perlu Ke Buat Penyucian Dividen?

Sumber: Cattime & Cole and Marmalade

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma