Siakap Keli
15 maut kebakaran basikal elektrik
Gambar: AFP

15 Maut Dalam Kebakaran Bangunan Di China, Basikal Elektrik Jadi Punca

15 Maut Akibat Kebakaran Di China, Basikal Elektrik Jadi Punca

Sekurang-kurangnya 15 orang telah terbunuh dalam kejadian kebakaran yang berpunca daripada sebuah basikal elektrik di China.

Menurut CNN, kebakaran tersebut berlaku di sebuah pangsapuri 34 tingkat di kawasan perumahan Nanjing, wilayah Jiangsu, China pada pagi Jumaat, 23 Februari lepas.

Kejadian itu juga menyebabkan 44 orang mengalami kecederaan, di mana dua daripadanya dipercayai berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa dilaporkan menerima panggilan kecemasan melibatkan kejadian tersebut pada 4:39 pagi. Sejumlah besar jentera bomba kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian dan kebakaran berjaya dipadamkan pada 6:00 pagi.

Dalam laporan media tempatan, siasatan awal mendapati bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada sebuah basikal elektrik yang diletakkan di tingkat terbuka bangunan itu.

Sementara itu, satu rakaman video yang memperlihatkan kejadian tersebut turut tular di media sosial China.

Berdasarkan video berkenaan, bola api dilihat merebak dengan cepat di luar bangunan dan asap memenuhi pangsapuri di beberapa tingkat bangunan. Kebakaran juga meninggalkan kesan buruk kepada keadaan bangunan.

Kebakaran basikal elektrik ini mengakibatkan 15 orang maut

Dalam pada itu, Datuk Bandar Nanjing, Chen Zhichang dalam sidang akhbar yang berlangsung pada pagi Sabtu mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

Kata Chen, tragedi yang berlaku amat memilukan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran akan terus dijalankan.

“Kami akan berusaha mencari jawapan kepada insiden ini agar semua pertanyaan keluarga mangsa dan masyarakat terjawab,” katanya.

Menurut CNN lagi, kebakaran yang meragut nyawa itu telah menjadi tumpuan dan topik hangat dalam kalangan warga maya di sana.

Video rakaman tragedi tersebut yang dimuat naik melalui platform media sosial China yang dikenali sebagai “Weibo” juga telah mendapat lebih 470 juta tontotan.

Penting untuk menguruskan basikal elektrik secara ketat

Sebelum ini, kejadian kebakaran yang berpunca daripada basikal elektrik yang rosak pernah dilaporkan berlaku di negara itu dalam tempoh beberapa tahun yang lepas.

Susulan kejadian terbaharu ini, Bekas Ketua Pengarang Global Times, Hu Xijin menyeru bagi peraturan yang lebih ketat terhadap penggunaan basikal elektrik diwujudkan.

“Apa yang berlaku amat mengejutkan. Cara kita mengurus penggunaan basikal elektrik perlu dilihat semula,” katanya menerusi hantaran di Weibo.

Beberapa pengguna Weibo yang lain turut berkongsi kebimbangan yang sama.

Mereka turut menggesa pihak berkuasa agar lebih proaktif dan segera melaksanakan peraturan yang tegas supaya insiden yang sama tidak berulang.

BACA: Jadual Waktu Berbuka & Imsak Di Seluruh Malaysia 2024

Sumber: CNN

Sharifah Hannah Adibah