Siakap Keli
HSAJB pesakit lambat rawatan
Kredit: Bernama

Hospital Sultanah Aminah Nafi Pesakit Lambat Terima Rawatan

Hospital Sultanah Aminah Nafi Pesakit Lambat Terima Rawatan

Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) menyangkal dakwaan yang mengatakan mereka membiarkan pesakit lambat menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma seperti yang tular di media sosial.

Kenyataan itu telah dimuat naik di laman X (@KKMPutrajaya) hari ini.

Pengarah Hospital berkata, pihaknya telah mengambil maklum berkaitan dengan hantaran yang tular di akaun media sosial X.

Akaun tersebut merupakan milik persendirian dan memuat naik sebuah hantaran berkenaan hospital terbabit pada 16 Mac lalu.

Pengguna terbabit telah membuat dakwaan berhubung waktu kehadiran dan kelewatan menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) HSAJB. Hantaran itu telah tular di media sosial dan menjadi isu hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Sehubungan itu, pihak pengurusan di HSAJB membuat siasatan berkenaan isu tersebut. Hasil siasatan dalaman menyaksikan dakwaan yang dikemukakan oleh individu tersebut tidak benar.

“Pihak pengurusan hospital telah membuat siasatan dalaman berkenaan dengan isu tersebut dan menafikan dakwaan pesakit lewat menerima rawatan di JKT HSAJB,” katanya.

Dalam pada itu, HSAJB turut mengemukakan kronologi lengkap berhubung kejadian yang menjadi tular di media sosial.

“Pesakit telah didaftar di JKT pada jam 10.33 malam dan diambil tanda vital di Zon Hijau pada jam 10.45 malam.

“Rawatan awal (splinting) telah diberikan kepada pesakit pada jam 11.00 malam sebelum Pegawai Perubatan melihat pesakit pada jam 3.30 pagi. Susulan itu, pesakit dirujuk kepada Pegawai Perubatan dari Jabatan Ortopedik pada jam 4.10 pagi.

“Pesakit didiagnos dengan kepatahan tulang clavicle (tulang selangka) dan Pegawai Perubatan tersebut telah memberikan rawatan conservative dan pemberian janji temu rawatan susulan pada 24 Mac 2024 (Rabu) jam 8.00 pagi di Klinik Ortopedik.” jelas pengarah.

Jelasnya lagi, pesakit berkenaan telah dibenarkan untuk discaj dengan menerima Sijil Cuti Sakit serta dibekalkan ubat tahan sakit.

“Pihak hospital memandang serius berkenaan perkara tersebut dan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam yang hadir ke HSAJB untuk menerima rawatan.” ujarnya.

BACA: Google Malaysia Mohon Maaf Atas Kesilapan Nilai Tukaran USD-MYR

Sumber: @KKMPutrajaya via X

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma