Menteri Komunikasi Teliti Cadangan Beri Gelaran Biduanita Negara Buat Siti Nurhaliza
Cadangan untuk menganugerahkan gelaran Biduanita Negara kepada penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin masih dalam peringkat perbincangan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberitahu bahawa pihaknya sedang meneliti cadangan pemberian gelaran berprestij kepada penyanyi itu.
Jelas Fahmi, proses itu agak memakan masa untuk diteliti. Sungguhpun begitu, pihak Kementerian Komunikasi akan cuba untuk mempercepatkannya.
“Saya ada bangkitkan perkara itu dan ada perbincangan dalaman. Cuma ia akan mengambil masa dan kita akan cuba lihat apa boleh dilakukan untuk percepatkan proses itu,” katanya yang dipetik dalam laporan Sinar Harian.
Fahmi berkata demikian ketika berada di Majlis Apresiasi Pengamal Media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu tidak mahu memberikan ulasan lanjut mengenai perbincangan itu.
“Saya tak mahu komen lebih kerana perkara ini masih dalam peringkat perbincangan,” ujarnya di hadapan media.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza mencuri tumpuan menerusi konsertnya yang diadakan pada bulan lepas.
Kejayaan menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lepas telah mengundang perhatian ramai.
Beliau telah memberikan impak yang luar biasa sehinggakan ada yang menyarankan penyanyi itu diberikan gelaran Biduanita Negara.
Namun begitu, ketika diminta mengulas perkara berkenaan, Siti Nurhaliza berkata beliau tidak terlalu berharap dengan gelaran tersebut.
Hal ini kerana, beliau telah menceburi karier nyanyian dan bertahan dalam industri seni di Malaysia disebabkan minatnya sendiri.
Berdasarkan rekod, setakat ini hanya dua penyanyi yang pernah mendapat gelaran Biduanita Negara iaitu Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini dan Puan Sri Saloma.
Puan Sri Saloma menerima gelaran tersebut pada tahun 1978 dan Datuk Sharifah Aini pula pada 2006.
BACA: Hasrat Buat Kejutan Tak Kesampaian, Bapa Meninggal Sebelum Restoran Dilancarkan
Sumber: Sinar Harian