Siakap Keli
lohong hitam terbesar
Kredit: AFP

Lohong Hitam Terbesar Dalam Bima Sakti Berjaya Ditemui, 33 Kali Ganda Jisim Matahari

Lohong Hitam Terbesar Dalam Bima Sakti Berjaya Ditemui, 33 Kali Ganda Jisim Matahari

Ahli astronomi dilapor berjaya menemui sebuah lohong hitam stellar terbesar yang pernah ditemui dalam Galaksi Bima Sakti. Lohong hitam itu dianggarkan mempunyai jisim kira-kira 33 kali ganda daripada saiz Matahari, lapor AFP.

Menurut ahli astronomi dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan di Paris, Pasquale Panuzzo, lohong hitam yang dinamakan sebagai Gaia BH3 itu ditemui secara ‘kebetulan’ menerusi data yang dikumpul oleh Misi Gaia Agensi Angkasa Eropah.

Misi Gaia yang dikhususkan untuk memetakan galaksi Bima Sakti berjaya mengesan BH3 yang terletak pada jarak kira-kira 2,000 tahun cahaya dari Bumi di kawasan buruj Aquila.

Memandangkan teleskop Gaia berupaya menentukan kedudukan tepat bintang di langit, ia dapat membantu ahli astronomi mengkaji orbit-orbit bintang di kawasan tersebut dan akhirnya mengukur jisim lohong hitam berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian lanjut menerusi teleskop di darat, ahli astronomi seterusnya dapat mengesahkan BH3 merupakan lohong hitam dengan jisim paling besar di Bima Sakti. 

“Tiada siapa pun dapat menjangkakan akan menemui lohong hitam berjisim tinggi yang seolah-olah sedang mengintai daripada kawasan berhampiran, namun tidak dapat ‘dihidu’ selama ini.

“Ia contoh penemuan yang hanya akan berlaku sekali sahaja dalam kehidupan seseorang penyelidik,” kata Pasquale.

Tidak menghasilkan sinar-X dan menjadikannya sukar untuk dikesan

Menurut AFP, BH3 berjaya ditemui ketika saintis mengesan satu gerakan ‘bergoyang’ melibatkan bintang yang mengorbit lohong hitam tersebut.

“Kami dapat melihat bintang yang saiz kecil sedikit daripada Matahari (sekitar 75 peratus daripada jisimnya) dan lebih terang, yang berpusing mengelilingi satu benda yang tidak kelihatan,” kata Pasquale lagi.

Lohong hitam stellar terhasil daripada keruntuhan bintang gergasi ketika penghujung hayat objek angkasa berkenaan. Namun, saiz lohong hitam stellar lebih kecil berbanding lohong hitam supermasif yang mana saintis masih belum tahu cara kewujudannya.

“Objek angkasa gergasi seperti itu sudah pun berjaya ditemui dalam galaksi-galaksi lain menerusi gelombang graviti, namun tiada sebarang penemuan pernah dibuat dalam galaksi kita,” tambah Pasquale.

Menurut laporan AFP lagi, BH3 adalah sebuah lohong hitam yang tidak aktif dan terletak terlalu jauh dari bintang-bintang untuk menarik sebarang jirim.

Oleh itu, lohong hitam berkenaan tidak menghasilkan sinar-X dan menjadikannya sukar untuk dikesan.

Sebelum ini, teleskop Gaia juga sudah menemui dua lohong hitam tidak aktif dalam Bima Sakti yang dinamakan sebagai Gaia BH1 dan Gaia BH2.

BACA: Bukan Biasa-biasa, Lagu “Alamak Raya Lagi” Dah Tular Hingga Ke Jepun

Sumber: AFP, AFP (2)

Athirah

When nothing goes right, go left.