Siakap Keli
puasa enam syawal
Gambar: Bernama

Puasa Enam Syawal Tapi Tidak Puasa Penuh Ketika Ramadan, Ini Penjelasan Mufti

Puasa Enam Syawal Tapi Tidak Puasa Penuh Ketika Ramadan, Adakah Dapat Pahala Puasa Setahun?  Ini Penjelasan Mufti

Selepas Ramadan melabuhkan tirai, kita akan menyambut bulan Syawal dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi meraikan kemenangan selepas sebulan bertarung melawan nafsu.

Dalam keseronokan menyambut perayaan ini, ada juga tidak melepaskan peluang merebut ganjaran berpuasa sunat selama enam hari pada bulan Syawal.

Lebih-lebih lagi, ganjaran berpuasa enam hari di bulan ini menyamai berpuasa sepanjang tahun. Sebagai umat Islam, tentunya kita tidak mahu melepaskan peluang mengerjakan ibadah ini.

Namun, timbul pula persoalan apakah seseorang itu akan mendapatkan ganjaran pahala puasa setahun selepas puasa enam Syawal meskipun tidak puasa penuh di bulan Ramadan?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai topik menarik ini, mari kita ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah.

Puasa Enam Syawal Tapi Tidak Puasa Penuh Ketika Ramadan, Adakah Dapat Pahala Puasa Setahun?

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Kita semua maklum kelebihan puasa enam hari pada bulan Syawal selepas puasa Ramadan yang diumpamakan pahalanya menyamai pahala selama setahun. Persoalan saya, jika saya puasa enam Syawal tapi tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana sakit atau datang haid, adakah saya memperoleh kelebihan yang disebut dalam hadis itu?

BACA: Detik Lucu Pelumba Moto3 Tertukar Motosikal Buat Ramai Terhibur

Ringkasan Jawapan:

Seseorang yang tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana keuzuran, atau langsung tidak berpuasa kerana sakit, lalu dia membayar fidyah dan dia menunaikan puasa enam hari pada Syawal, dikira mendapat pahala puasa setahun yang disebut dalam hadis. Namun kelebihan ini tidak diperolehi jika dia tidak berpuasa atau sengaja berbuka pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Ini berdasarkan sebuah hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayyub al-Ansari RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Riwayat Muslim (1164)

Persoalannya, jika seseorang itu tidak berpuasa penuh ketika Ramadan, contohnya kerana sakit atau datang haid, kemudian dia berpuasa enam hari pada bulan Syawal, adakah dia dikira mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis?

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan ketika menghuraikan hadis di atas:

‌وَقَضِيَّةُ ‌الْمَتْنِ ‌نَدْبُهَا حَتَّى لِمَنْ أَفْطَرَ رَمَضَانَ وَهُوَ كَذَلِكَ إلَّا فِيمَنْ تَعَدَّى بِفِطْرِهِ

Maksudnya: Poin utama matan hadis ialah hukum sunat berpuasa (enam hari pada bulan Syawal), termasuk bagi yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan, kecuali bagi sesiapa yang tidak berpuasa dengan sengaja (tanpa sebarang keuzuran).[1]

BACA JUGA: Keselamatan Ditingkatkan, Saluran YouTube Monsta Kembali Selepas Digodam

Syeikh Sulayman al-Jamal pula menjelaskan:

وَمِنْ هُنَا يُعْلَمُ ‌أَنَّ ‌مَنْ ‌عَجَزَ ‌عَنْ ‌صَوْمِ ‌رَمَضَانَ ‌وَأَطْعَمَ عَنْهُ ثُمَّ شُفِيَ يَوْمَ الْعِيدِ مَثَلًا ثُمَّ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ حَصَلَ لَهُ الثَّوَابُ الْمَذْكُورُ فِي الْحَدِيثِ وَلَا مَانِعَ مِنْ ذَلِكَ وَنَظِيرُهُ مَا قَالَ الْعِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلَامِ فِيمَنْ فَطَّرَ سِتًّا وَثَلَاثِينَ شَخْصًا كَانَ كَمَنْ صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: Maka di sini kita ketahui bahawa sesiapa yang tidak mampu berpuasa Ramadan kerana sakit dan membayar fidyah sebagai ganti, kemudian dia sembuh pada hari raya, lalu dia puasa sunat Syawal selama enam hari, dia mendapat pahala seperti yang disebut dalam hadis, dan tiada masalah dalam hal tersebut. Permasalahan yang berkaitan juga adalah apa yangs disebut oleh al-’Izz bin ‘Abd al-Salam bahawa seseorang yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa, seolah-olah dia berpuasa selama setahun.[2]

Kesimpulannya, seseorang yang tidak berpuasa penuh ketika Ramadan kerana keuzuran, atau langsung tidak berpuasa kerana sakit, lalu dia membayar fidyah dan dia menunaikan puasa enam hari pada Syawal, dikira mendapat pahala puasa setahun yang disebut dalam hadis.

Hal ini juga selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya: Jika seseorang itu sakit atau bermusafir (dan tidak solat secara berdiri atau solat secara qasar, dia akan mendapat pahala sama seperti amalannya ketika dia bermukim dan dalam keadaan sihat.

BACA JUGA: “Boss, You Mahu Pergi KL Kan? Jangan Patah Balik..” Lelaki Kongsi Pengalaman Pulang Beraya Guna Jalan Tikus

Sahih al-Bukhari

Menurut Syeikh al-Husain al-Muzhir, hadis ini bermaksud:

إذا فات منه عمل صالح بسبب المرض أو المسافرة أو شغل طاعة أو مباح، أعطاه ثواب ذلك العمل؛ لأنه معذور في فَوت ذلك العمل، وهذا في غير الفرائض

Maksudnya: Jika seseorang itu terlepas daripada melakukan suatu amal soleh disebabkan sakit, permusafiran atau kesibukan kerana melakukan suatu perkara ibadah atau perkara yang harus, Allah SWT tetap akan mengurniakan pahala amal soleh tersebut kepadanya. Hal ini kerana dia diberi keuzuran akibat terlepas daripada mengerjakan amal tersebut, namun hal ini hanya khusus kepada amalan sunat sahaja. [3]

Namun kelebihan ini tidak diperolehi jika dia sengaja tidak berpuasa atau sengaja berbuka pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran.

Wallahu a‘lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?