Siakap Keli
kilat ketika gunung berapi
Kredit: Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation/ AFP

Kenapa Ada Kilat Ketika Gunung Berapi Meletus? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Kenapa Ada Kilat Ketika Gunung Berapi Meletus? Ini Yang Anda Perlu Tahu

Kilat lazimnya kelihatan di depan mata apabila kawasan yang didiami berdepan dengan cuaca buruk seperti ribut. Dengan ini, fenomena tersebut sering dikatakan satu kebiasaan ketika waktu ribut petir.

Sungguhpun begitu, kita juga dapat melihat kilat pada waktu yang lebih jarang berlaku iaitu ketika gunung berapi meletus.

Untuk makluman, kilat gunung berapi berlaku ketika gunung berapi sedang meletus dan memuntahkan lahar daripada lohongnya.

Sains di sebalik kilat letusan gunung berapi ini disifatkan lebih kompleks dan sukar diterangkan berbanding fenomena ribut petir biasa.

Apa itu kilat gunung berapi?

Kilat ini terhasil dalam kepulan-kepulan abu yang keluar daripada ‘mulut’ gunung berapi ketika berlakunya letusan gunung berapi.

Seperti ribut petir biasa, kilat jenis ini berlaku apabila elektrik statik terbentuk di permukaan atmosfera sebelum dibebaskan dalam bentuk panahan kilat.

Walau bagaimanapun, pembentukan statik bagi kilat gunung berapi tidaklah semudah seperti ribut petir biasa terhasil.

Meskipun mekanisme lengkap berkenaan fenomena ini masih belum difahami sepenuhnya, kajian menunjukkan beberapa faktor tertentu yang menyumbang kepada proses pengecasan dalam kilat gunung berapi itu.

kilat ketika gunung berapi
Kredit: Center for Volcanology and Geological Hazard Mitigation/ AFP

1. Pengecasan Ais

Pengecasan ais adalah mekanisme awal yang menjadi tonggak utama bagi penghasilan ribut petir. Perkara ini turut memainkan peranan dalam penghasilan kilat gunung berapi, khususnya apabila kepulan-kepulan gas daripada letusan gunung berapi bebas ke udara.

Ketika udara panas daripada letusan gunung berapi bebas ke udara, ia akan bertemu dengan udara yang lebih sejuk di atmosfera.

Wap-wap air di dalam kepulan-kepulan gas ini akan membeku sehingga menjadi zarah ais yang berlanggar antara satu sama lain.

Ion ais yang bercas positif akan terus naik dan berkumpul di bahagian atmosfera yang lebih tinggi.

2. Pengecasan geseran

Pengecasan geseran turut dikenali sebagai pengecasan triboelektrik dan juga dianggap sebagai salah satu mekanisme penting yang membawa kepada fenomena ini.

Dengan cara yang sama seperti pengecasan ais berlaku disebabkan zarah ais berlanggar, pengecasan ini melibatkan serpihan batu dan abu berlanggar dan mencipta ion bercas.

Arus konvensional kemudiannya menyebabkan kepulan naik dan memisahkan cas ini ke kawasan yang berbeza.

3. Fractoemission

Fractoemission berlaku mirip seperti pengecasan geseran, yang mana berlaku ketika pemecahan zarah batuan di dalam kepulan.

Apabila batu-batuan pecah, terdapat kemungkinan berlakunya penghasilan zarah bercas dan seterusnya menghasilkan cas statik.

Kesan ini kebanyakannya berlaku pada tenaga tinggi, yang menyebabkan cas berkumpul lebih dekat dengan ‘mulut’ gunung berapi.

kilat ketika gunung berapi
Kredit: Daniel Basualto

4. Pengecasan radioaktif

Radioisotop semula jadi yang terdapat pada batu-batuan juga berkemungkinan memberikan pengaruh semasa pembentukan cas.

Kajian mendapati zarah-zarah abu daripada gunung berapi menunjukkan paras radioaktif semula jadi yang lebih tinggi dan kawasan bercas boleh terbentuk apabila ia mereput.

Walau bagaimanapun, penjelasan lanjut berkenaan tahap pengecasan radioaktif pada kilat gunung berapi masih belum diketahui.

5. Ketinggian kepulan asap

Ketinggian kepulan daripada letusan gunung berapi sebenarnya turut memainkan peranan penting dalam kejadian alam ini.

Apabila letusan menghasilkan kepulan abu yang tinggi (lebih daripada 7 km), ia jga menyebabkan timbulnya kepekatan wap air yang lebih tinggi.

Dengan lebih banyak air dan suhu persekitaran yang lebih sejuk berada pada ketinggian ini, terdapat kemungkinan berlakunya lebih banyak pengecasan ais dan aktiviti elektrik.

Manakala, kepulan yang memiliki ketinggian yang lebih rendah pula lebih cenderung untuk tidak menghasilkan kilat.

Walaupun sains di sebalik kilat gunung berapi ini tidak lengkap, banyak faktor yang dikenalpasti telah memainkan peranan dalam fenomena ini.

BACA: Bakal Dirobohkan Untuk Projek ECRL, Wanita Kongsi Kenangan Aidilfitri Terakhir Di Rumah

Sumber: SciTech Daily 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma