Siakap Keli
TLDM 10 Maut
Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat

Insiden Heli TLDM: 10 Maut Terdiri 7 Kru HOM TLDM, 3 Kru FENNEC TLDM

Insiden Heli TLDM: Tiada Terselamat, 10 Maut Terdiri 7 Kru HOM TLDM, 3 Kru FENNEC TLDM

10 orang disahkan maut di tempat kejadian apabila dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas dalam latihan perbarisan Hari TLDM ke-90 pagi tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, kira-kira 9.32 pagi tadi.

Nahas tersebut telah disahkan oleh TLDM sendiri menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini, dan dikongsikan menerusi laman X milik MINDEF Malaysia (@MINDEFMalaysia).

Berdasarkan kenyataan akhbar tersebut, dua helikopter yang terlibat masing-masing dikenali sebagai Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan Helikopter FENNEC TLDM.

Kedua-dua helikopter yang terhempas dilaporkan sedang menjalani raptai bersempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.

Insiden ini melibatkan 10 mangsa yang terdiri daripada pegawai dan anggota TLDM, iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru FENNEC TLDM.

Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut bagi proses pengecaman. TLDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam pada itu, pihak TLDM memohon agar orang ramai tidak menularkan rakaman video kejadian yang berlaku. Ini adalah untuk menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.

BACA: Dua Buah Helikopter TLDM Terhempas Di Perak

Sumber: MINDEF Malaysia

Sharifah Hannah Adibah