Siakap Keli
'Eagle Nest Skywalk'
Kredit: Langkawi Skycab

Paling Panjang Di Dunia, Eagle’s Nest Skywalk Di Langkawi Sudah Boleh Dikunjungi

‘Eagle Nest Skywalk’, Tarikan Terbaru Pulau Langkawi & Paling Panjang Di Dunia

Percutian sememangnya suatu perkara yang disukai oleh semua orang tanpa mengenal usia. Lebih-lebih lagi apabila kita dapat bercuti sama ada bersama keluarga tercinta, sanak-saudara ataupun rakan taulan.

Boleh dikatakan, bercuti umpama “short escape” yang dapat membantu individu lari daripada kesibukan rutin harian.

Tak kiralah sama ada bercuti di dalam mahupun luar negara atau di kawasan bandar mahupun desa, dengan bercuti kita dapat membebaskan diri daripada kebiasaan hidup buat seketika.

Malah, tidak dapat dinafikan bercuti juga salah satu terapi untuk menenangkan fikiran dan menangani stres.

Di Malaysia, Langkawi pasti termasuk dalam senarai tempat bagi pelancong mahupun warga tempatan sendiri sebagai destinasi “short escape”.

Langkawi bukan sahaja diketahui pelancong seluruh dunia dengan keindahan alam semula jadinya, malah ia cukup sinonim dengan cerita-cerita legenda tempatan.

Tidak hanya itu, pulau itu turut ‘menyajikan’ pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh para pengunjung.

‘Eagle’s Nest Skywalk’ tarikan baharu di Langkawi

Dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 10 Mac, kini Eagle’s Nest Skywalk menjadi tarikan terbaru para pengunjung yang bertandang ke Langkawi.

Terletak di Gunung Machinchang dengan ketinggian 645 meter dari aras laut, tarikan baharu ini menawarkan pemandangan indah pulau-pulau hijau serta air laut kebiruan.

Menurut portal Langkawi Book, reka bentuknya diinspirasikan daripada tugu ikonik Langkawi. Ia menampilkan kepala helang besar dan sarang dengan telur yang dikatakan melambangkan kebebasan dan pencapaian.

Kredit: Langkawi Skycab

Eagle’s Nest Skywalk yang berlantaikan kaca berukuran 38 meter mampu memuatkan sekurang-kurangnya 300 pengunjung dalam satu masa.

Difahamkan, sebelum dapat merasai pengalaman berjalan di atas Eagle’s Nest Skywalk, pengunjung terlebih dahulu perlu menaiki kereta kabel untuk menuju puncak di mana tarikan terbaharu itu berada.

Kredit: Langkawi Skycab

Maklumat harga tiket Eagle’s Nest Skywalk

Menurut portal Tours Langkawi, harga tiket ke Eagle’s Nest Skywalk adalah RM68 bagi dewasa dan RM48 bagi kanak-kanak warganegara Malaysia.

Manakala, pelancong asing pula dikenakan bayaran RM130 bagi dewasa dan RM100 bagi kanak-kanak.

Untuk pengetahuan, Eagle’s Nest Skywalk dibuka setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.

Oleh itu, jangan lepaskan peluang kunjungi Eagle’s Nest Skywalk, tarikan terbaru di Langkawi.

BACA: 9 Kenderaan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) Ini Layak Mohon Diesel Bersubsidi & Fleet Card

Sumber: Langkawi Book, Tours Langkawi

Athirah

When nothing goes right, go left.