Siakap Keli
Duduk Rumah Tingkat Selalu Alami Masalah Kebocoran, Apa Perlu Buat?
Gambar Hiasan

Duduk Rumah Tingkat Selalu Alami Masalah Kebocoran, Peguam Ajar Apa Perlu Buat

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Duduk Rumah Tingkat Selalu Alami Masalah Kebocoran, Peguam Ajar Apa Perlu Buat

Ramai antara kita di Malaysia yang tinggal di rumah strata yang bertingkat. Contohnya, pangsapuri atau kondominium.

Di sini, setiap penghuni hidup berjiran di atas tanah yang sama dengan berkongsi kemudahan secara bersama, seperti lif, bilik sampah, kawasan parkir kenderaan dan taman permainan.

Namun, masalah biasa yang tidak dapat dielakkan bila duduk rumah bertingkat adalah bila berlaku kebocoran antara tingkat, terutamanya kebocoran paip di tandas.

Persoalannya, siapa yang sebenarnya bertanggungjawab atas kebocoran itu, dan apa yang perlu kita lakukan?

Ini penjelasan peguam, Nas Rahman, menerusi laman X (@nas_rahmann).

Menurut Nas Rahman, orang ramai perlu terlebih dahulu memahami bahawa dalam kes strata, apa-apa kerosakan yang berlaku dalam unit adalah tanggungan pemilik unit sendiri.

Berbeza dengan kerosakan yang berlaku di luar unit, ia merupakan tanggungjawab pihak pengurusan iaitu Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC).

Namun, bagaimana pula dengan kebocoran yang berlaku antara tingkat?

Apa yang anda perlu buat sekiranya berlaku kebocoran antara tingkat di kediaman?

Tindakan pertama ialah pengadu boleh memberikan notis bertulis secara e-mel atau surat kepada pihak pengurusan apartment. Ini selaras dengan Peraturan 56 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

Setelah menerima notis, pihak pengurusan apartment seharusnya menjalankan pemeriksaan dalam masa tujuh hari untuk menentukan punca kebocoran.

Kemudian, pihak pengurusan apartment dalam tempoh lima hari setelah selesai pemeriksaan haruslah mengeluarkan satu perakuan pemeriksaan dalam Borang 28.

Borang ini akan menyatakan sebab kebocoran antara tingkat dan pihak yang menjadi punca kepada kerosakan yang terjadi. Seterusnya, pihak yang bertanggungjawab dituntut untuk membaiki kecacatan yang menyebabkan kebocoran itu.

Namun, sekiranya pihak yang menjadi penyebab kebocoran tidak berupaya untuk membaiki kerosakan tersebut, maka pengadu boleh meminta pihak pengurusan untuk membaiki kerosakan itu.

Tanggungjawab membaiki kerosakan tersebut jatuh kepada pihak pengurusan apartment berdasarkan peraturan 61 Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.

“Peraturan 61 menyatakan bahawa tanggungjawab untuk membaiki kerosakan antara tingkat jatuh kepada pihak pengurusan. Namun, pihak pengurusan boleh menuntut kembali segala kos yang telah dikeluarkan untuk pembaikian tersebut dari pemilik unit yang menjadi punca kerosakan,” kata Nas Rahman.

Sekiranya pihak yang menjadi penyebab kebocoran dan pihak pengurusan apartment enggan bertanggungjawab membaiki kerosakan, maka pengadu berhak menyaman kedua-duanya atas kerosakan yang menyebabkan kesan kepada pengadu.

Itulah prosedur yang perlu diambil sekiranya berlaku kebocoran antara tingkat di kediaman anda.

Semoga bermanfaat.

BACA: Tarif Air Perak Naik 5 Sen Selepas 18 Tahun

Sumber: Nas Rahman via X

Sharifah Hannah Adibah