EPL Sediakan Dua Trofi, Kalau-kalau Arsenal Yang Jadi Juara
Pentadbir Liga Perdana Inggeris (EPL) dilapor menyediakan dua trofi kejuaraan menjelang perlawanan terakhir liga pada Ahad ini.
Ia selepas penentuan gelaran juara liga, antara Arsenal dan Manchester City pada musim ini terpaksa ditentukan pada perlawanan ke-38 nanti.
Berbaki satu perlawanan lagi, Man City dilihat lebih berpeluang besar untuk menjulang trofi itu buat kali keempat berturut-turut.
Anak-anak buah Pep Guardiola nanti dapat menentukan nasib mereka sendiri dengan kemenangan ke atas West Ham akan mengesahkan kejuaraan.
Manakala, situasinya sedikit berbeza bagi Arsenal. Skuad kendalian Mikel Arteta wajib menang ketika melayan kunjungan Everton sambil berharap keputusan positif tidak berpihak kepada Man City.
Dua trofi EPL disediakan, kalau-kalau Arsenal yang jadi juara
Begitupun, dengan kedua-dua pasukan hanya dibezakan dua mata, peluang kepada kedua-dua pasukan untuk bergelar sang juara masih terbuka hingga ke saat ini.
Atas fakta tersebut, pentadbir EPL akan menyediakan dua trofi berserta 40 set pingat kejuaraan yang serupa di kedua-dua stadium.
Selain itu, podium untuk para pemain menjulang trofi sambil diiringi tembakan bunga api juga akan dibina di Stadium Etihad dan Stadium Emirates hujung minggu ini.
Dengan susunan ini, proses penyerahan trofi selepas kejuaraan ditentukan akan berjalan dengan lancar. Dengan kata lain juga, hanya satu set trofi dan pingat sahaja yang akan bertukar tangan nanti.
Man City intai rekod, pasukan pertama menang EPL empat kali berturut-turut
Dalam pada itu, Man City ketika ini sedang mengintai peluang untuk menjadi pasukan pertama yang berjaya menjulang trofi kejuaraan EPL untuk kali keempat-empat berturut.
Sebelum ini, Pep sudah pun berjaya memimpin skuadnya mencipta sejarah menjulang trofi Liga Juara-juara Eropah serta piala Kelab Dunia FIFA buat julung kalinya dalam sejarah kelab berkenaan.
Bagi Arteta, sekiranya Arsenal yang muncul sebagai juara, maka ini adalah trofi kejuaraan liga pertamanya sepanjang beliau bergelar sebagai pengurus.
Kali terakhir Arsenal muncul sebagai juara liga adalah pada musim 2003/4 ketika dibimbing Arsene Wenger, 20 tahun lepas.
BACA: Unik Tapi Comel, Tular Awan Bentuk Godzilla Muncul Di Langit Kuantan
Sumber: One Football