Siakap Keli
Vaksin AstraZeneca darah beku
Gambar: BERNAMA

Vaksin AstraZeneca Tiada Kaitan Dengan Kes Darah Beku, Serangan Jantung – Dr Noor Hisham

Vaksin AstraZeneca Tiada Kaitan Dengan Kes Darah Beku, Serangan Jantung – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM —  Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan Vaksin AstraZeneca tidak mempunyai kaitan dengan kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku kini.

Dr Noor Hisham menerusi satu hantaran di platform X berkata demikian kerana sejak kebelakangan ini tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin tersebut.

Selain itu, vaksin berkenaan juga tidak digunakan bagi dos penggalak (Booster dose).

“Kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).

“Ia adalah penyakit darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu (sebulan) selepas menerima vaksinasi,” katanya pada Isnin.

Tambahan lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia pada waktu itu telah menerima laporan bahawa VITT, namun vaksin tersebut perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat COVID-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini.

“Golongan berisiko ini tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AstraZeneca.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi bagi tidak menerima vaksin jenis ini, dan juga bagi pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku AEFI,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

BACA: Ini Kaedah Yang Lebih Cepat Nak “Check” Keputusan SPM 2023

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata insiden kesan samping darah beku (VITT) juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu setiap juta suntikan.

“Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan COVID-19 itu sendiri, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan COVID-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165 000 kes dalam 1 juta jangkitan.

“Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1800 kes dalam 1 juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk membezakan kes ini kerana ia masih boleh berlaku atas faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis.

“Orang ramai diminta membezakan antara kesan samping darah beku (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain.

“Kriteria diagnosa VITT mestilah ianya berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah.

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan.

“Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Sumber: X @ Noor Hisham Abdullah

BACA JUGA: Ini Fakta Menarik Kereta Api Laju ‘Whoosh’ Indonesia, Mampu Capai Kelajuan Hingga 350 Km/j

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.