Ingatkan Sama, Rupanya Ini Beza Antara Gunung Merapi & Marapi Di Indonesia
Gunung Marapi di Sumatera Barat meletus pada Khamis, 1.04 tengah hari Waktu Indonesia Barat (WIB) yang memuntahkan abu mencecah sehingga 2,000 meter dari kawah gunung.
Menurut Detik.com, berita kejadian berkenaan kemudian pantas menjadi tular di media sosial dan turut dilaporkan oleh pelbagai portal berita.
Begitu pun, ada warga maya malah portal berita yang tersilap, apabila melaporkan gunung yang meletus hari ini adalah Gunung Merapi.
Untuk pengetahuan pembaca, Gunung Marapi dan Gunung Merapi sebenarnya adalah dua gunung berapi yang berlainan dan berada di lokasi berbeza. Satu-satunya persama adalah kedua-dua gunung ini terletak di Indonesia.
Justeru, kali ini SK ingin berkongsi dengan anda semua beza antara Gunung Merapi dengan Gunung Marapi berdasarkan beberapa petunjuk.
Lokasi
Lokasi Gunung Marapi yang meletus pada hari ini adalah terletak di Kabupaten Agam dan Tanah Datar, Sumatera Barat. Lebih tepat lagi, gunung berkenaan berada di titik koordinat 0˚22′47.72″ Lintang Selatan (LS) dan 100˚28′16.71″ Bujur Timur (BT).
Sementara itu, Gunung Merapi pula terletak di antara Kabupaten Magelang, Boyolali dan Klaten, Jawa Tengah hingga memasuki kawasan Kabupaten Sleman, Daerah Istimewa Yogyakarta.
Dari segi titik koordinatnya pula, Gunung Merapi berada di 7° 32,5′ LS 110° 26,5′ BT.
Ketinggian
Selain lokasi geografi, kedua-dua gunung ini mempunyai ketinggian yang berbeza. Gunung Marapi mempunyai ketinggian 2,891 meter dari aras laut, manakala Gunung Merapi direkodkan dengan ketinggian 2,980 meter dari aras laut.
Aktiviti pendakian
Menurut media tempatan, para pendaki dilarang daripada melakukan sebarang aktiviti pendakian di Gunung Merapi sejak November 2020.
Ia susulan status amaran gunung berkenaan yang diletakkan pada Tahap III.
Walau bagaimanapun, akses kepada Gunung Marapi di Sumatera Barat masih dibuka untuk pendakian. Namun pendaki perlu melaporkan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang aktiviti pendakian.
Rekod meletus
Menurut Detik.com, Gunung Merapi dipercayai kali pertama meletus pada 1768, manakala Gunung Marapi dipercayai meletus kali antara tahun 1807-1822.
Selain itu, jumlah letusan yang direkodkan melibatkan kedua-dua gunung ini juga berbeza. Setakat ini, Gunung Marapi dicatatkan meletus lebih daripada 50 kali dan Gunung Merapi di Pulau Jawa pula telah meletus lebih daripada 80 kali.
Jadi, begitulah serba sedikit perbezaan antara kedua-dua gunung ini.
BACA: Gunung Marapi Di Sumatera Barat Meletus, Penduduk Dinasihat Berwaspada
BACA: Gunung Ruang Meletus, Indonesia Keluar Amaran Potensi Tsunami
Sumber: Detik.com