Perlu Pulang Semula Ikan Kelisa Yang Ditangkap, Bukan Hak Kita – Exco Johor
Semalam, tular beberapa rakaman yang menunjukkan penduduk di sekitar Layang dan Simpang Renggam di Johor menangkap ikan kelisa dipercayai hanyut dari sebuah kolam takungan yang pecah.
Tindakan tersebut menarik perhatian banyak pihak selepas video-video yang memaparkan tindakan penduduk tersebut menjadi tular di media sosial.
Menurut Sinar Harian, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata orang ramai yang bertindak menangkap ikan perhiasan bernilai tinggi itu perlu memulangkan semula kepada pemilik asalnya.
Katanya lagi, tindakan penduduk mengambil ikan berkenaan adalah tidak wajar. Hal ini kerana, ikan-ikan berkenaan jelas merupakan milik individu, maka sepatutnya perlu dipulangkan kepada pemilik asal.
“Jika jelas ia milik orang lain dan kita tahu siapa pemiliknya, hendaklah kita pulangkan kepada pemilik.
“Itulah sebaik-baik akhlak seorang Muslim, malah semua agama mendidik kita agar tidak mengambil hak orang lain.
“Kita tidak boleh makan atau ambil sesuatu yang bukan hak, malah kita bimbang ia menjadi darah daging jika datang dari sumber yang tidak sah,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.
Bagaimanapun, situasi adalah sebaliknya andai pemilik ikan-ikan tersebut memberi kebenaran atau telah menghalalkan untuk ikan-ikan berkenaan diambil.
Terdahulu, media tempatan melaporkan ratusan ikan kelisa dijumpai dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam. Kejadian itu dipercayai berlaku sejak Selasa lepas.
Ikan kelisa yang mempunyai sisik emas dan putih serta berat dalam anggaran dua kilogram itu dipercayai dihanyutkan dari kawasan ternakan yang ada di kawasan berdekatan.
BACA: Juara Program Realiti Hiburan Mengaku Salah Miliki Dadah