Siakap Keli
pengapungan harga diesel mekanisme basmi ketirisan subsidi
Gambar: Bernama

Pengapungan Harga Diesel Mekanisme Basmi Ketirisan Subsidi – Amir Hamzah

Pengapungan Harga Diesel Mekanisme Basmi Ketirisan Subsidi – Amir Hamzah

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) — Kerajaan akan melaksanakan pengapungan harga minyak diesel susulan penyasaran subsidi diesel sebagai salah satu mekanisme untuk membasmi aktiviti ketirisan melibatkan subsidi bahan api berkenaan yang disifatkan semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata subsidi diesel sebanyak RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019, meningkat sepuluh kali ganda kepada RM 14.3 billion pada tahun lepas, disumbang oleh beberapa faktor.

Beliau berkata antara faktornya ialah peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 billion liter tahun lepas, iaitu kenaikan lebih kurang 70 peratus.

“Kalau saya tengok daripada segi perkembangan ekonomi, dari segi kenaikan (jumlah) kenderaan diesel dalam negara, saya tidak boleh cari jumlah yang mengisi (kepada kenaikan 70 peratus itu).

“Jadi kita memahami ada sebab lain kenapa volume (kuantiti) diesel naik mendadak sebanyak 70 peratus dan kita rasa, sebab kenaikan besar ialah kerana terdapat banyak ketirisan yang berlaku dalam negara,” kata Amir Hamzah ketika sesi penerangan bersama editor kanan media di Kementerian Kewangan, baru- baru ini.

BACA: Jemaah Menteri Setuju Laksana Penyasaran Subsidi Ke Atas Bahan Api Diesel – PM

Selain itu, beliau berkata, perbezaan antara harga runcit diesel pada RM2.15 seliter dan harga pasaran (lebih kurang RM3.50 seliter), juga dilihat sebagai peluang kepada sesetengah pihak untuk meraih keuntungan lebih besar.

Tambahan pula, katanya, terdapat perbezaan yang besar antara harga pasaran bahan api berbanding dengan negara jiran seperti di Thailand (RM4.12 seliter), Indonesia (RM4.73) dan Singapura (RM8.87), sehingga membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memindahkan bahan api berkenaan dari Malaysia ke negara lain.

“Jadi untuk kita mengurangkan ketirisan, cara yang paling logik sekali ialah kita apungkan harga. Bila kita (kerajaan) apungkan harga (diesel), perbezaan antara runcit dengan komersial, tiada,” katanya.

Beliau berkata bila jurang harga runcit dan komersial dapat dikurangkan, ia sekali gus menutup ruang bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan meraih keuntungan menerusi penjualan diesel bersubsidi.

Ketika ditanya bila mekanisme serta penyasaran subsidi diesel akan dilaksanakan, Amir Hamzah memberikan bayangan pelaksanaan itu akan dibuat ‘tahun ini’ tanpa mengulas lanjut.

Menurutnya, kerajaan menggunakan pendekatan “whole of government” (pendekatan seluruh kerajaan) iaitu kerjasama erat antara semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat bagi menjayakan penyasaran subsidi diesel itu.

Ini termasuk mempertingkat penguatkuasaan bagi mengatasi masalah ketirisan serta sebarang kegiatan pencatutan harga oleh peniaga untuk mengaut keuntungan melampau, katanya.

Bagaimanapun, katanya, selain penguatkuasaan, pelbagai langkah lain perlu dilaksanakan untuk mengurangkan kadar ketirisan yang merugikan negara.

“Ketirisan di sempadan misalnya, kerajaan perlu fikirkan idea yang lebih kreatif selain tindakan penguatkuasaan.

“Contohnya apa yang Singapura buat kepada kita, jika hendak masuk ke Malaysia perlu periksa tangki minyak kenderaan (dengan nombor plat Singapura) sekurang-kurangnya ada tiga perempat

“Mungkin kita boleh lakukan perkara sama tetapi reverse check (semakan berbalik) dan banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sungguhpun begitu, Amir Hamzah menekankan bahawa penyasaran subsidi yang sebelum ini secara pukal hanya akan dinikmati oleh pemilik kenderaan diesel yang layak.

Pada 21 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Negara, dipetik sebagai berkata Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada sektor perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel, sekali gus mengawal risiko kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story