Seniman Tanah Air, Pyanhabib Rahman Meninggal Dunia
Pelakon dan penyair, Mohd Supyan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Pyanhabib telah meninggal dunia pada malam ini.
Berita duka itu dikongsikan oleh isteri Allahyarham di laman Facebook sebentar tadi.
“Suami saya Pyanhabib yang anda kenal sudah tiada. Kembali pada penciptaNya. Maaf kan kesalahannya doakan yang baik baik untuknya,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata beliau menerima panggilan daripada rakan-rakan terdekat mengenai pemergian Pyanhabib kira-kira pukul 9 malam tadi.
Jelasnya, Allahyarham sepatutnya mendeklamasi puisi pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 tetapi tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan.
BACA: Bekas Pengacara Majalah 3, Abdullah Sidek Majin Meninggal Dunia
“Beliau tidak sihat sejak balik daripada mengerjakan umrah pada tahun lepas. Badannya kurus, hilang selera makan dan pergerakan agak terbatas,” katanya kepada Bernama.
Allahyarham pernah menghiasi beberapa filem seperti Kembara Seniman Jalanan, Tsu-Feh Sofiah, Tak Kisahlah Beb, Rock Oo! dan Apokalips X.
Dilahirkan di Taiping, Perak pada 27 Mei 1958, Pyanhabib juga membintangi drama One Cent Thief yang menjadi perhatian di Astro Ria pada 2022.
Beliau juga telah menulis beberapa buku seperti Balada Pyanhabib dan Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib.
Memetik Sinar Harian, Allahyarham dipercayai hilang pendengarannya ketika berusia 12 tahun. Ia berlaku selepas diserang demam panas, lantas menyebabkan mencipta puisi bertajuk ‘Suara’.
Pemergiannya nyata merupakan satu kehilangan yang besar buat arena seni tanah air dan juga dunia perbukuan serta sastera.
Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Salam takziah untuk keluarga Allahyarham, semoga diberi ketabahan menerima ujian ini.
Sumber: Pyanhabib Rahman