Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud, Pesara Hilang RM4.7 Juta

Azizah Najib
terpedaya pelaburan tidak wujud pesara hilang rm4.7 juta
Gambar: Bernama

Terpedaya Pelaburan Tidak Wujud, Pesara Hilang RM4.7 Juta

SHAH ALAM – Diperdaya pelaburan tidak wujud, seorang pesara terpaksa berputih mata apabila wang RM4.7 juta yang dilabur olehnya lesap selepas gagal mengeluarkan wang keuntungan, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, mangsa telah hadir membuat laporan polis pada Khamis, jam 12.32 pagi di Balai Polis Seksyen 9. Laporan itu dibuat setelah menyedari pelaburan saham itu tidak wujud.

Ujarnya, pesara syarikat swasta berusia 63 tahun itu menjumpai iklan pelaburan saham di Facebook pada pertengahan Mac. Setelah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp, mangsa diminta membuka akaun pelaburan terbabit bagi tujuan melabur dalam pasaran saham tempatan.

BACA: Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7 Berlangsung Di Kuala Lumpur

“Pengadu dijanjikan keuntungan sebanyak 11 hingga 13 peratus daripada nilai pelaburan dibuat dan semakin lama pengadu membuat pelaburan semakin meningkat kadar peratusan keuntungan diperoleh.

“Pengadu tertarik dengan pelaburan yang menguntungkan tersebut dan seperti diarahkan, pengadu telah membuka akaun.

“Mangsa telah membuat 42 transaksi sehingga jumlah pembayaran sebanyak RM4.7 juta bermula Mac sehingga penghujung bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa mendapati keuntungan pelaburan berjumlah RM11.3 juta yang cuba dikeluarkan olehnya tidak dimasukkan ke akaun bank miliknya.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan pelaburan saham, Cryptocurrency atau apa sahaja jenis pelaburan yang ditawarkan secara dalam talian melalui media sosial yang kononnya menawarkan pulangan keuntungan besar dalam masa singkat.

“Orang ramai diingatkan agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM),” ujarnya.

Terdahulu, pemain badminton beregu negara, Lai Pei Jing turut menjadi mangsa sindiket penipuan apabila dia telah kehilangan sebahagian besar wang simpanannya.

Perkara tersebut telah dikongsikan olehnya di dalam laman Instagram baru-baru ini.

Menerusi perkongsian itu, dia memohon agar diberikan ruang untuk memproses apa yang telah berlaku terhadapnya.

Sumber: Sinar Harian

BACA JUGA: Aidiladha: Larangan Penutupan Lorong Bagi Kerja Selenggara Bermula 12 Hingga 19 Jun