“Pantai Bersih, Pasir Halus,” Lelaki Kongsi Keindahan “Hidden Gems” Di Pulau Pangkor
Pulau Pangkor sememangnya terkenal dengan pantai-pantai yang cantik dan bersih.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pangkor merupakan antara lima tempat utama pilihan pelancong tempatan dan luar negara pada tahun 2022.
Jangan terkejut, sekecil-kecil pulau ini, masih terdapat pantai tersembunyi yang tidak terusik dek peredaran zaman.
Mungkin ramai yang belum pernah mendengar nama Pantai Teluk Segadas.
Baru-baru ini, nama pantai tersebut menjadi tular apabila gambarnya dikongsikan oleh pengguna laman X. Untuk pengetahuan, pantai ini menyimpan kenangan ibu kepada jurugambar alam tanah air, Noit Pippo, bersama teman-temannya 50 tahun dahulu.
Menerusi perkongsiannya di X, Noit Pippo atau nama sebenarnya Syazwan berkata beliau tidak menyangka pantai itu menyimpan keindahan sama seperti apa yang diceritakan oleh ibunya.
Dalam beberapa gambar serta video yang dikongsinya, Syazwan bersama isteri yang dikenali sebagai Aety serta anaknya dilihat sedang bersantai sambil menikmati keindahan laut nan membiru.
BACA: Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7 Berlangsung Di Kuala Lumpur

“Kami jumpa pantai tersembunyi yang mungkin kamu semua tak pernah dengar. Aku dapat tahu teluk ini dari mak aku. 50 tahun dulu inilah pantai tempat dia bermain dengan teman-teman sekampung.
“Apa yang mak cerita tentang teluk ini sama dengan apa yang kami bertiga rasakan. Ketenangan, kebahagiaan dan kekeluargaan.
“Tak sangka di Pulau Pangkor masih ada hidden gems yang belum diteroka lagi. Pantai bersih, sunyi dan pasirnya paling halus aku pernah jumpa. Sebuah keindahan di tanah air sendiri,” katanya menerusi ciapan tersebut.

Ketika dihubungi SK, Syazwan berkata tak ramai yang tahu mengenai Pantai Teluk Segadas walaupun Pulau Pangkor menerima kunjungan ramai pelancong.
Hal ini berkemungkinan disebabkan pengunjung yang ingin ke sana bukan sahaja perlu mendaki, malah mereka juga perlu merentas hutan. Selain mendaki, pengunjung juga boleh ke sana dengan menaiki bot namun bayarannya agak mahal.
Syazwan turut kongsikan cara untuk ke sana ketika ditanya netizen
Bagi yang ingin ke sana, anda boleh menaiki kereta hingga ke jeti Marina, Lumut.
Selepas itu ambil feri ke Pangkor dan apabila sampai ke jeti Pangkor, anda perlu menyewa motosikal untuk ke Kampung Teluk Gedung.
“Dari situ kena mendaki dan trekking sikit dalam 30 minit, selepas itu sampai (ke) Pantai Teluk Segadas. Lokasi boleh Google Maps je,” kata Syazwan
Air laut bersih dan jernih
Menurutnya, keistimewaan pantai ini terletak pada kehalusan pasir pantainya menandingi pantai-pantai lain di Pulau Pangkor.
Katanya lagi, para pengunjung dapat menikmati air laut yang bersih dan jernih di samping berkhemah dan mendaki untuk melihat panorama dari puncak.
Kecantikan pantai ini merupakan hasil usaha salah seorang penduduk tempatan di sana yang sentiasa menjaga kebersihan kawasan pantai dari sampah-sarap yang datang dari laut.
“Bagi saya Teluk Segadas ni salah satu pantai paling cantik yang ada di Perairan Selat Melaka,” katanya.
Beberapa netizen yang pernah ke sana turut berkongsi pengalaman mereka.
“Ini tempat berkhemah waktu sekolah dulu tahun 2006-2008. Tempat ini memang cantik,” balas salah seorang pengguna X.
“Dua kali pergi sini. Dua-dua trauma dengan kera dan monyet,” kongsi seorang lagi pengguna.
“Tempat kegemaran saya,” beritahu seorang pengguna yang lain.
Terdapat juga netizen yang menyuarakan harapan agar kebersihan alam semula jadi di Pantai Teluk Segadas dapat dikekalkan oleh para pengunjung.
“Cantiknya. Harap orang lain (yang) pergi jaga alam sekitar,” pesan seorang pengguna yang kagum dengan kecantikan pantai tersebut.
Sumber: X @noitpippo
BACA: “Jalan Menuju Healing”, Pemuda Terkejut Google Map Bawa Laluan Terus Masuk Laut
BACA: Wanita Tak Sangka, Momen “Healing” Boleh Bertukar Menjadi ‘Cemas’ Dikejar Anjing