“Aku Dah Janji Nak Wakafkan Seluruh Tubuh..” Hazeman Huzir Derma Rambut Untuk Pesakit Kanser
Baru-baru ini, pengacara, Hazeman Huzir mencuri perhatian warga maya selepas mengambil keputusan memotong rambutnya untuk didermakan kepada pesakit kanser.
Hazeman dalam satu hantaran di platform Instagram berkata rambut yang didermakan itu setidak-tidaknya dapat mengembalikan semula keyakinan dalam diri mereka yang kehilangan rambut akibat kemoterapi.
Jelas Hazeman, rambutnya itu akan dijadikan ‘wig’ oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.
Meskipun rambut itu telah dijaga selama tiga tahun, namun ia tidak menghalang niatnya untuk membantu golongan kanak-kanak yang mengalami penyakit tersebut.

“Tidak mengapa, rambut tumbuh balik. Lagipun badan aku ini aku dah janji nak wakafkan seluruh tubuh. Dari hujung rambut sampai hujung kaki.
“Rambut palsu daripada rambut manusia ini boleh basuh dan boleh hair dryer. Jadi, mahal sikit kalau banding dengan wig synthetic,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

BACA: Warnai “Trio Botak” EPL, Erik Ten Hag Kekal Di United
Tambahnya lagi, dia juga akan menjelaskan dengan lebih teliti berkenaan dengan langkah derma rambut itu dalam video yang lain.
Sementara itu, tindakan yang dilakukan oleh lelaki berusia 36 tahun itu mendapat pujian daripada warganet termasuk golongan artis.
Rata-rata warga maya turut mengajukan soalan seperti lokasi dan cara untuk mewakafkan rambut sama dengan apa yang dilakukannya.
“Dekat mana nak wakafkan rambut? suami pun jenis simpan rambut panjang, selepas itu potong pendek, kemudian simpan lagi. Ulang-ulang lah macam tu,” komen salah seorang pengguna.
“Sumpah handsome!” komen seorang lagi pengguna.
“Maaf, nak tanya. Rambut yang dipotong sahaja ke boleh diwakafkan ya? Kalau rambut yang gugur, contoh macam ketika shampu rambut dan yang kita vakum dalam bilik pastu dikumpulkan dalam plastik. Macam tu boleh ke? Sebab saya tak tahu nak buang ke nak tanam,” tanya seorang pengguna.
BACA JUGA: Derma 356 Kali Sejak 1988, Lelaki Dirai Derma Darah Buat Kali Terakhir Di Usia 70 Tahun
Sumber: Instagram Hazeman Huzir