Siakap Keli
murid prasekolah maut

Murid Prasekolah Maut Dilanggar Van Sekolah

Murid Prasekolah Maut Dilanggar Van Sekolah

JOHOR BAHRU, 19 Jun (Bernama) — Seorang murid prasekolah maut selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian melibatkan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu berlaku pada 11.35 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu van wanita berusia 50 tahun menurunkan kanak-kanak itu dan abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah mereka.

BACA: Kes Langgar Lari: Polis Buru Pemandu Lori Libat Kemalangan Tiga Kenderaan

“Pemandu van itu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa (berjalan) melepasi belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.

“Pemandu itu telah terlanggar mangsa yang lalu di hadapan van tanpa disedari. Pemandu itu kemudian turun melihat keadaan mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kanak-kanak itu yang cedera parah dibawa ke Klinik Kesihatan Masai oleh ibunya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mohd Sohaimi berkata pemandu berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Bernama

BACA: Penyelidik Kesan Isyarat Baharu Milik MH370 Di Australia Barat

BACA: Destinasi Pencinta Alam, Ini Antara Lokasi Menarik Di Sekitar Labuan Bajo

Azizah Najib

Menulis tanpa henti