Siakap Keli
donald sutherland meninggal dunia
Kredit: AFP

Pelakon The Hunger Games, Donald Sutherland Meninggal Dunia

Pelakon The Hunger Games, Donald Sutherland Meninggal Dunia

Bintang filem The Hunger Games, Donald Sutherland menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun.

Pelakon veteran yang berasal dari Kanada ini telah terlibat dalam dunia lakonan lebih separuh abad dengan membawa pelbagai watak.

Biarpun dulunya mendiang terkenal dalam beberapa genre seperti romantik, namun generasi kini lebih mengenali mendiang sebagai Presiden Snow, watak jahat dalam francais filem The Hunger Games.

Berita duka itu telah dimaklumkan oleh anaknya, Kiefer Sutherland, yang juga seorang pelakon di laman X pada awal pagi Jumaat.

“Dengan berat hati, saya ingin memaklumkan bahawa ayah saya, Donald Sutherland, telah meninggal dunia. Secara peribadinya, saya rasa (dia) salah seorang pelakon utama dalam sejarah perfileman.

“Tidak pernah hilang semangat dek sesuatu watak sama ada baik, jahat atau buruk. Dia cintakan apa yang dia buat dan tiada siapa dapat minta lebih dari itu. Hidup dijalani sebaiknya,” luah Kiefer Sutherland di laman X.

BACA: Redza Rosli Sah Bergelar Suami Kepada Bella Hanna Dengan Sekali Lafaz

Laman rasmi filem The Hunger Games di X turut menyampaikan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

Paling baik hati dalam dunia

“Kami meminta lelaki yang paling baik hati dalam dunia ini untuk melakonkan watak diktator yang paling tidak berakhlak, tidak berhati perut yang pernah kita saksikan. Itulah kekuatan dan kemahiran lakonan Donald Sutherland apabila dia mencipta satu lagi watak yang tidak dapat dilupakan dalam kerjayanya.

“Kami bertuah dapat mengenali dan bekerja bersamanya, dan takziah dari kami buat keluarganya,” kata pihak filem itu.

Mendengar perkhabaran sedih itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau juga menyampaikan ucapan takziahnya kepada waris pelakon tersebut dalam satu sidang media, lapor AFP.

“Ketika muda, saya berpeluang untuk bertemu Donald Sutherland, dan biarpun sebagai seorang yang masih muda dan masih belum mengenali lebih mendalam tentang kecemerlangan Donald Sutherland, saya benar-benar terpesona.

“Mendiang seorang lelaki yang berperwatakan luar biasa, handal dalam seninya, dan benar-benar seorang artis Kanada yang hebat, dan dia akan dirindui,” ucapnya.

Ron Howard juga dilihat menyampaikan takziah di laman media sosialnya. Beliau yang pernah mengarah filem aksi ngeri, ‘Backdraft’ bersama Donald Sutherland, di samping Robert De Niro dan Kurt Russell turut menggelar mendiang sebagai  “salah seorang pelakon filem paling bijak, menarik dan mengasyikkan sepanjang masa”.

Sumber: AFP

BACA: Budaya Sarapan Malaysia: Nasi Lemak, Roti Canai, Teh Tarik Dihidang Di Pejabat PBB

BACA: Jangan Salah Pilih, Abang Ni Ajar Cara Nak Baca & Cek Saiz Bateri Kereta Dengan Betul

Azizah Najib

Menulis tanpa henti