Siakap Keli
google translate iban jawi
Gambar: Google

Google Translate Tambah Senarai Bahasa, Kini Boleh Terjemah Jawi, Iban & Minang

Google Translate Tambah Senarai Bahasa, Kini Boleh Terjemah Jawi, Iban & Minang

Fungsi Google Translate adalah antara fungsi yang ditawarkan oleh Google dan banyak digunakan oleh warganet di seluruh dunia.

Biasanya, kita akan menggunakan fungsi tersebut apabila bertembung dengan teks dalam bahasa yang kita tidak fahami.

Pelbagai bahasa utama dunia seperti Bahasa Inggeris, Arab, Mandarin dan Perancis kini boleh diterjemah dengan mudah kepada bahasa ibunda kita.

Ia sekaligus membolehkan halangan bahasa dapat dipecahkan dan komunikasi harian menjadi lebih mudah.

Begitupun, Google Translate biasanya hanya menawarkan terjemahan-terjemahan dalam bahasa besar dan ramai penuturnya sahaja.

Google Translate boleh terjemah tulisan Jawi, Bahasa Iban & Minang

Namun dari semasa ke semasa, banyak bahasa ditambah dan kini Google memaklumkan pihaknya menambah 110 bahasa baharu, termasuk bahasa-bahasa yang bukan menjadi bahasa utama.

Menurut Google, penambahan tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif 1000 Bahasa, iaitu sebuah komitmen untuk membina model AI yang menyokong 1,000 jenis bahasa yang paling banyak dipertuturkan di seluruh dunia.

Manakala penambahan 110 bahasa baharu ke dalam Google Translate dapat dijayakan menerusi teknologi model bahasa besar PaLM 2 miliknya.

Ujar Google lagi, 110 bahasa yang ditambah itu juga mewakili kira-kira 614 juta penutur atau kira-kira 8 peratus populasi dunia.

Malah, ada bahasa baharu yang ditambah itu merupakan antara bahasa utama di dunia yang memiliki kira-kira 100 juta orang penutur.

Ambil masa beberapa hari sebelum boleh diakses sepenuhnya

Selain itu, bahasa-bahasa baharu yang ditambah juga turut mewakili kumpulan penutur kecil termasuk komuniti orang asli. Mereka juga turut menambah bahasa-bahasa yang kini hampir tiada lagi penuturnya namun sedang aktif dihidupkan kembali.

Kira-kira suku daripada bahasa-bahasa yang ditambah pula datangnya daripada kelompok penduduk di benua Afrika. Ini termasuklah bahasa Fon, Kikongo, Luo, Ga, Swati, Venda dan Wolof.

Namun menariknya, beberapa bahasa yang dituturkan masyarakat tertentu di Asia Tenggara juga turut ditambah kali ini.

Antaranya adalah bahasa Bali, Batak (Karo, Simalungun dan Toba), Betawi, Bikol, Iban, Madura, Makasar dan Minang.

Paling mencuri tumpuan tentunya keupayaan Google Translate kini untuk menterjemah Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi kepada bahasa-bahasa lain.

Menurut Google, semua bahasa tersebut mengambil masa beberapa hari untuk ditambah sebelum dapat diakses sepenuhnya menerusi laman web atau aplikasinya.

BACA: Ais Di Gunung Everest Kini Mencair, Mayat Pendaki Beku Sekian Lama Mula Kelihatan

Sumber: Google

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.