Siakap Keli
wanita selamatkan kucing
Kredit gambar: Facebook Velvet Aduk

Wanita Selamatkan Kucing Peliharaan Ketika Banjir Di Sabah, Raih Pujian Ramai

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Wanita Selamatkan Kucing Peliharaan Ketika Banjir Di Sabah, Raih Pujian Ramai

Tragedi banjir besar yang melanda Sabah sejak Ahad menyaksikan jumlah mangsa semakin bertambah.

Banjir yang melibatkan kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan sekitarnya masih belum menampakkan tanda untuk surut apabila Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan lagi.

Semenjak bermulanya banjir pada dua hari lepas, warga maya tidak henti-henti berkongsi gambar keadaan terkini di sana.

Mangsa Banjir Selamatkan Kucing Peliharaan, Warga Maya Terharu

Ia termasuk satu gambar yang merakamkan seorang wanita menyelamatkan kucing peliharaannya ketika banjir. Gambar tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian warga maya.

Wanita yang dikenali sebagai Dr Phoebe Ann itu dilihat berjaya menyelamatkan empat ekor kucing peliharaannya dengan menaiki bot penyelamat.

Ketika dihubungi SK, Phoebe yang juga merupakan seorang doktor gigi di Donggongon berkata, kucing peliharaannya yang diberi nama Latte, Tatwo, Miau dan Lico kini berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, semua barangan di rumahnya telah rosak dan masih banyak lagi yang perlu dibersihkan.

Phoebe juga menceritakan detik-detik ketika menghadapi banjir yang berlaku di rumahnya di Penampang.

“Di rumah saya, air banjir laju betul naik. Paling tinggi la banjir kali ini. Kami biasa juga jadi mangsa banjir, tapi banjir kali ini betul-betul rasa (seperti) ‘mangsa’ banjir.

“Masa mula banjir, kami menumpang di rumah jiran kami sebab rumah mereka ada dua tingkat. Kami semua satu keluarga dengan kucing-kucing.

“Lepas itu semalam dan hari ini, kami sudah bersihkan rumah. Jadi kami letak kucing-kucing di dalam bilik adik lelaki saya. Sekurang-kurangnya mereka (kucing-kucing) berada dalam persekitaran yang sudah biasa. Saya dan keluarga pula masih tidur di rumah jiran sebab semua tilam kami habis basah dan berlumpur,” luahnya kepada SK.

Syarikat pendandan haiwan peliharaan tawarkan bantuan

Sebelum ini, salah seorang pengguna Facebook, Tasyah Tni cuba mencari Phoebe bagi membantu sebuah perniagaan perkhidmatan dandanan haiwan peliharaan, Pet Wellness, untuk menghulurkan bantuan kepada haiwan peliharaan mangsa.

BACA: Lindung  Murid Ketika Cuaca Panas, Tadika Di Jepun Pasang “Awning” Boleh Tarik

Apabila ditanya berkenaan bantuan yang dihulurkan oleh pihak Pet Wellness, Phoebe memberitahu dia ada menerima tawaran bantuan daripada syarikat tersebut. Namun, disebabkan kenderaan keluarganya semua ditenggelami air banjir serta keadaan rumah yang tidak mengizinkan, pihaknya masih belum berpeluang untuk ke sana.

Terdahulu, penyanyi dan penulis tempatan, Velvet Aduk yang merupakan ibu saudara kepada Phoebe turut berikan pujian kepada anak saudaranya itu yang menyelamatkan kucing.

“A-ann dan anak-anak kucingnya. Anak saudara saya seorang doktor gigi yang lemah lembut dan baik hati, dikenali sebagai Dr Phoebe dari Klinik Pergigian Dr Natasha di Donggongon,” katanya dalam hantaran gambar asal yang telah tular.

“Lebih teruk dari 1999. Dulu, banjir berlaku sekali dalam sepuluh tahun. Sekarang, (banjir) berlaku sekali dua dalam setahun.

“Tiada kata-kata yang dapat diungkap untuk gambarkan keadaan yang dahsyat ini, ” luah Velvet lagi.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Sabah dilaporkan meningkat kepada 481 orang daripada 147 keluarga pada petang tadi, lapor Bernama.

Sumber: Facebook Phoebe Ann, Facebook Tasyah Tni, Facebook Velvet Aduk

BACA: Gajah Borneo Diklasifikasikan Sebagai Terancam Dalam Senarai Merah IUCN

BACA: Tiap Malam Penduduk Dengar Suara Ketawa, Misteri Akhirnya Terjawab

Azizah Najib

Menulis tanpa henti