Malaysia Tidak Kompromi, Sentiasa Sedia & Pantas Hadapi Ancaman Nuklear
Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh ancaman, keselamatan negara adalah prioriti utama. Ini termasuklah keselamatan perairan maritim, terutamanya bagi negara-negara yang memiliki jalur perairan strategik.
Sebagai sebuah negara yang terletak di salah satu laluan maritim paling penting di dunia, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi cabaran ini.
Bayangkan laluan perairan Malaysia seperti jalan raya sibuk yang menghubungkan pelbagai negara, membawa kapal-kapal besar sarat dengan barang dagangan, minyak dan pelbagai barangan lain yang menjadi nadi ekonomi global.
Namun, di sebalik kesibukan ini, terselit juga pelbagai ancaman yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan negara.
Ancaman-ancaman ini termasuklah penyeludupan, pencerobohan, dan yang paling membimbangkan, ancaman nuklear.
Ancaman nuklear dianggap paling membimbangkan kerana impaknya yang sangat dahsyat dan berbahaya, bukan sahaja kepada keselamatan fizikal tetapi juga kepada kesihatan awam dan kestabilan sosial.
Kenali Atom Malaysia
Di Malaysia, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) merupakan badan kawalselia tenaga atom juga antara barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan perairan negara.
Dahulunya dikenali sebagai Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), badan ini ditubuhkan pada 1 Februari 1985 di bawah Jabatan Perdana Menteri. Kini, Atom Malaysia berada di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sejak 27 Oktober 1990.
Objektif utama mereka adalah untuk memastikan penggunaan tenaga atom adalah selamat, terjamin dan dikawalguna demi melindungi masyarakat, pekerja dan alam sekitar.
Sebagai badan kawal selia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, Atom Malaysia bertanggungjawab mengawal selia penggunaan tenaga atom mengikut standard dan amalan terbaik antarabangsa.
Misi mereka adalah memastikan rakyat dan negara menikmati kemakmuran dengan penggunaan tenaga atom yang selamat dan terkawal.
Atom Malaysia bukan sekadar sebuah jabatan, tetapi barisan hadapan dalam menjaga keselamatan tenaga atom negara kita. Mereka memastikan setiap aspek penggunaan tenaga ini tidak membawa risiko kepada sesiapa.
Dengan komitmen yang tinggi dan kepakaran yang mendalam, Atom Malaysia memastikan keselamatan tenaga atom negara berada di tangan yang cekap dan boleh dipercayai.
Atom Malaysia telah mengambil pelbagai langkah proaktif mengukuhkan keselamatan perairan maritim negara, dan ini termasuklah penggunaan teknologi canggih untuk mengesan dan menangani ancaman nuklear.
Demonstrasi penggunaan alatan pengesan sinaran yang dikongsikan menerusi laman Youtube rasmi Atom Malaysia adalah satu daripada contoh komitmennya dalam hal ini.
Mungkin ramai yang tidak pernah menonton demonstrasi ini atau menganggap ia bukan perkara penting. Mungkin ramai juga beranggapan bahawa semua bentuk ancaman adalah tanggungjawab pihak berkuasa.
Namun, tidak ramai yang tahu betapa mencabar dan berisikonya amanah yang dipikul.
Mari kita selami video demonstrasi ancaman maritim dalam pengesanan dan tindakan pantas menghadapi penyeludupan bahan nuklear di Malaysia.
Video tersebut memaparkan demonstrasi penggunaan alatan pengesan sinaran yang diadakan di Malaysia. Ini bertujuan untuk memperlihatkan kemampuan negara, khususnya Atom Malaysia dalam mengesan dan bertindak terhadap ancaman nuklear di perairan maritim.
Atom Malaysia “Buka Mata” Masyarakat Tentang Kemampuan Malaysia Hadapi Ancaman Nuklear
Melalui video tersebut, dapat dilihat bagaimana pihak bertanggungjawab menggunakan teknologi canggih untuk mengesan bahan nuklear yang mungkin terdapat di kapal atau kawasan maritim.
Penggunaan teknologi pengesanan ini adalah sangat penting bagi memastikan keselamatan kawasan perairan daripada ancaman nuklear.


Demonstrasi ini turut melibatkan prosedur keselamatan yang ketat dalam mengendalikan bahan nuklear, memastikan pengendalian dilakukan dengan selamat tanpa menimbulkan risiko kepada manusia dan alam sekitar.
Selain itu, ia menampilkan keupayaan tinggi dan kerjasama erat antara Atom Malaysia dan pelbagai agensi keselamatan, tentera laut dan pihak berkuasa maritim dalam menangani ancaman nuklear.

Latihan simulasi dan tindakan segera yang dipamerkan menunjukkan kecekapan dan kesediaan pasukan keselamatan dalam mengatasi ancaman serta melindungi kawasan sekitar.
Respons cepat ini adalah elemen penting dalam memastikan ancaman dapat ditangani dengan efektif.


Tidak dapat dinafikan, perkongsian tersebut membawa kita menyelami usaha gigih negara dalam menangani ancaman ini. Ia menonjolkan penggunaan teknologi canggih dan kerjasama antara agensi keselamatan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.
Ia membuka mata masyarakat tentang betapa seriusnya negara kita dalam melindungi perairan daripada ancaman yang boleh mendatangkan bahaya besar kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Atom Malaysia, dengan segala usaha dan kesungguhannya, membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam hal keselamatan.
Kita sentiasa bersedia dan pantas bertindak untuk melindungi perairan dan rakyat kita daripada sebarang ancaman, termasuklah ancaman nuklear.
Maklumat Lanjut
Dalam pada itu, bagi mendapatkan maklumat dan status pemantauan aras sinaran di persekitaran dan perairan negara, orang ramai boleh merujuk laman sesawang Atom Malaysia, https://www.aelb.gov.my/v2/.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat (UKK), Atom Malaysia melalui emel [email protected] atau di talian 03-89225888.
Bagi sebarang kecemasan radiologi pula, orang ramai diminta menghubungi talian hotline Atom Malaysia di 1800-88-7999.
Sumber: Youtube Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Facebook Atom Malaysia, Instagram Atom Malaysia, TikTok Atom Malaysia, X Atom Malaysia