Gangguan IT: Sistem Tempahan & Daftar Masuk AirAsia Terjejas
Berikutan gangguan IT yang melanda dunia ketika ini, AirAsia memaklumkan bahawa sistem tempahan dan daftar masuk utama mereka turut terkesan.
Dalam kenyataan di laman X, AirAsia berkata impak dari situasi tersebut menyebabkan pengguna mungkin perlu menunggu lama untuk mendaftar masuk di lapangan terbang.
“Sistem tempahan dan daftar masuk utama kami terjejas oleh gangguan perkhidmatan awan Microsoft yang turut memberi kesan kepada syarikat penerbangan di seluruh dunia.
“Anda mungkin mengalami daftar masuk yang lebih perlahan dan perlu beratur panjang.
“Kami melakukan yang terbaik untuk menangani situasi ini, kesabaran dan pertimbangan anda amat dihargai,” maklumnya di laman rasmi X.
Dalam pada itu, pihak Lapangan Terbang Changi di Singapura turut mengalami masalah yang sama.
BACA: Splash Carnival Bermula: Sertai Keseronokan Di Festival Taman Tema Air LEGOLAND® Malaysia Resort!
Menerusi laman Facebook milik lapangan terbang tersebut, penggunaan sistem manual telah digunakan bagi proses daftar masuk.
“Berikutan gangguan global yang menjejaskan sistem IT kebanyakan organisasi, proses daftar masuk untuk beberapa syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi dikendalikan secara manual.
“Kakitangan Lapangan Terbang Changi sedang berusaha memberikan bantuan kepada penumpang, terutamanya bagi mereka yang akan berlepas.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” maklum pihak lapangan terbang terbabit.
Sementara itu, Malaysia Airports mengeluarkan kenyataan bahawa perkhidmatan di lapangan terbang tidak terjejas.
BACA: Jadi Pengantara, Pemuda Guna Bahasa Isyarat Terjemah Ceramah UAS Untuk Mak Ayah
“Namun, beberapa rakan penerbangan kami mengalami gangguan disebabkan isu ini.
“Bagi mendapatkan maklumat terkini serta panduan berkenaan penerbangan anda, mohon terus lakukan pemeriksaan dengan syarikat penerbangan berkenaan.
“Kakitangan kami yang berada di lapangan akan membantu para penumpang syarikat penerbangan terbabit,” ujar pihak Malaysia Airports di laman X.
Pihak lapangan terbang turut menggalakkan para penumpang untuk meminta bantuan jika perlu.
Sumber: AirAsia via X, Changi Airport via Facebook, Malaysia Airports via X
BACA: Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia Tahun 2023