“Betulkah ini adik…” – Suasana Hiba Sambut Jenazah Mohd Rais Di Sabah
“Adik ada di dalam ni… Abang (anak pertama), betulkah ini adik,” luah Faridah Mohd Maluddin, 50, ketika jenazah anaknya, Mohd Rais Sarkhanuddin Zainordin, 23, tiba di bumi Sabah, lapor Sinar Harian.
Dalam kira-kira jam 2 petang tadi, jenazah Allahyarham selamat tiba di MASkargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas diterbangkan dari Korea Selatan.
Ahli keluarga, kenalan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan antara individu yang menyambut jenazah sebelum dibawa ke Kota Belud bagi urusan pengebumian.
Suasana Hiba Ketika Proses Pemindahan Allahyarham Ke Dalam Van Jenazah

Faridah yang mengenakan pakaian serba hitam dilihat tidak berdaya saat melihat keranda anaknya yang baru keluar dari MASKargo, terpaksa dipapah keluar dari sebuah kereta.
Dia juga ditenangkan oleh ahli keluarga selepas cuba menggapai dan memegang keranda anak bongsunya itu.
Manakala Mohd Shahzehanudin, 26, anak kedua Faridah pula dilihat menadah tangan saat keranda adiknya dibawa masuk ke dalam van jenazah.
Dalam pada itu, rakan baik Allahyarham, Elvis Lu, 23, menyifatkan Allahyarham seorang yang baik hati dan suka bergurau.
Apatah lagi dia cukup mengenali Allahyarham dan telah lama bersahabat sejak Tingkatan Satu.

“Dia akan buat orang lain gembira dan suka bergurau dengan rakan-rakan. Bila kami bersama-sama, dia bukanlah seorang yang pendiam tetapi jenis ekstrovert.
“Tetapi apabila mendengar berita ini, saya sangat sedih. Walhal baru saja kami berhubung kira-kira dua minggu lalu dan kali terakhir kami berjumpa tiga bulan lalu sebelum dia berpindah ke Kota Kinabalu,” ujarnya.
Tambah Elvis, ketika berada di Korea Selatan, Allahyarham sering berkongsikan kehidupan di sana kepadanya melalui panggilan video menerusi WhatsApp.
“Tiada apa-apa petanda yang dia akan ‘pergi’ sepanjang perbualan kami. Dia hanya menceritakan tentang kehidupannya di Korea. Kami pun tak sangka akan berlaku sesuatu di sana,” katanya lagi.
Difahamkan, jenazah Allahyarham bakal disolatkan di Masjid Nurul Hikmah di Kampung Liang sebelum dikebumikan di tanah perkuburan kampung itu.
Terdahulu, Mohd Rais dilaporkan meninggal dunia di rumah didiaminya di Bandar Gumi, Wilayah Gyeongsang, Korea Selatan pada Ahad lalu.
Penghantaran pulang Allahyarham bagaimanapun menelan kos tinggi sehingga dana membawa pulang Mohd Rais terpaksa dikumpulkan oleh ahli keluarga.
BACA: “Bantu Kami Bawa Pulang Jenazah Dari Korea Selatan,” – Keluarga Minta Bantuan Bawa Pulang Jenazah Rais Ke Sabah
Sumber: Sinar Harian