Kapal MT Ceres 1 Yang Dilapor ‘Hilang’ Ditemui Semula Di Perairan Pulau Tioman
Sebuah kapal yang dilaporkan ‘hilang’ selepas terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kapal lain di perairan Tanjung Balau pada Jumaat, telah ditemui semula di perairan Pulau Tioman, Pahang, pada awal pagi Ahad.
Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus, mengesahkan bahawa kapal tangki MT Ceres 1 ditemui pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman bersama dua bot tunda yang sedang menariknya.
“Kapal peronda luar pesisir (OPV) KM PEKAN milik Maritim Malaysia berjaya mengesan dan memintas kapal tangki MT Ceres I sekitar jam 1.20 pagi.
“Kedua-dua bot tunda terbabit yang disyaki terlibat dalam membawa lari kapal tangki MT Ceres I sudah ditahan.
“Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan melaksanakan siasatan lanjut insiden kejadian dengan penemuan semula kapal MT Ceres I,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil tinjauan udara pesawat amfibia Bombardier CL 415 MP milik Maritim Malaysia pada Sabtu telah menemui kesan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut dimaklumkan mengenai penemuan ini dan akan melakukan pemantauan lanjut dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sebelum itu pada Sabtu, kapal MT Ceres 1 yang berdaftar di Republik Sao Tome and Principe didapati tiada di lokasi kejadian ketika operasi Carilamat dilakukan.
Sementara itu, sebuah lagi kapal, MT Hafnia Nile yang berdaftar di Singapura, dikesan hanyut sejauh 52 batu nautika dari lokasi kejadian di Timur Pulau Pemanggil, Mersing.
BACA: Tinggalkan Lokasi Insiden Pelanggaran, APMM Giat Kesan Kapal MT Ceres 1
Sumber: Sinar Harian