Ibu Bapa Zulfarhan Sujud Syukur, Lega Keadilan Kini Terbela
Ibu bapa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain hari ini meluahkan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menerusi siaran langsung Astro AWANI, bapa mangsa, Zulkarnain Idros, 60, dilihat melakukan sujud syukur bersama ibu mangsa, Hawa Osman, 61, selepas mahkamah membacakan keputusan rayuan kes.
Zulkarnain meluahkan kesyukuran atas keadilan yang ditegakkan pihak hakim terhadap pendera dan pembuli anaknya.
“Pertamanya, rasa syukur dan terima kasih kepada Allah SWT kerana telah memakbulkan doa kami sekeluarga dan doa seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan kes ini.
BACA: Bunuh Zulfarhan: Enam Bekas Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati
BACA: Zulfarhan Jerit, Tarik Kaki Semasa Ditekap Seterika – Tertuduh Kelima
“Jutaan terima kasih juga kepada seluruh barisan peguam pendakwaraya yang begitu hebat dapat membuktikan bahawa adanya niat membunuh.
“Terima kasih juga buat hakim Mahkamah Rayuan kerana membuat keputusan tepat dengan mengenakan hukuman gantung kepada pesalah,” katanya.
Bapa Zulfarhan sedih mendengar fakta kes yang tidak pernah didengarinya
Tambahnya lagi, hatinya dirundung pilu apabila ketua hakim membacakan fakta kes yang tidak pernah diketahui sebelum ini.
“Kita memang sedih sebab selama ni kita tak tahu apa cerita. Apabila ketua hakim bacakan fakta kes daripada awal kejadian-kejadian ini, kita memang sedih.
BACA: Hilang Sejak Sabtu, Albertine Ditemui Selamat
“Selama ini yang tak dengar di Mahkamah Tinggi, dengar hari ini,” luahnya.
Keputusan mahkamah hari ini menetapkan permohonan pihak pendakwaan dibenarkan untuk mengekalkan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Dengan ini, keenam-enam tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Berkenaan 12 lagi bekas penuntut UPNM yang terlibat dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan, hukuman penjara tiga tahun sebelum ini telah diketepikan. Hukuman tersebut digantikan dengan hukuman penjara empat tahun mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
BACA: Kes Nur Farah Kartini: Unit Forensik Jumpa Kunci Kereta
Sumber: Astro AWANI Live via X, Sinar Harian, Astro AWANI