Siakap Keli
jasad zhang zhi jie
Gambar: Badminton Asia via Instagram

Jasad Zhang Zhi Jie Masih Belum Dituntut, Keluarga Minta Tempoh Seminggu Lagi

Jasad Zhang Zhi Jie Masih Belum Dituntut, Keluarga Minta Tempoh Seminggu Lagi

Indonesia — Jasad mendiang atlet badminton China, Zhang Zhi Jie yang telah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada 30 Jun lalu dilaporkan masih belum dituntut keluarga, lapor Kompas.

Perkara ini disahkan oleh jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy.

“Betul, sehingga kini jasad Zhang Zhi Jie masih di Hospital Sardjito Yogyakarta. Maklumat dari panitia pelaksana tempatan, keluarga meminta satu minggu lagi untuk menuntutnya.

“Kami (berusaha) memudahkan dan terus memberikan (kerjasama) yang maksimum untuk keluarga mendiang,” kata Broto.

BACA: PBSI Mohon Maaf Kematian Zhang Zhi Jie, Tanggung Kos Penghantaran Pulang Jenazah

Sementara itu, Ketua Perundangan dan Perhubungan Awam Hospital Sardjito, Banu Hermaan, memaklumkan jasad mendiang disimpan di dalam bilik mayat hospital berkenaan.

Dia turut memberi keyakinan bahawa jasad mendiang dipastikan berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Insya-Allah (bertahan) lama, kerana peti sejuk beku kita juga mampu (beroperasi) untuk jangka masa panjang. Tidak ada (sebarang) rawatan (kepada mayat), hanya disimpan,” ujarnya pada 12 Julai lalu.

Menurutnya lagi, pihaknya masih menunggu arahan dan maklumat lanjut daripada keluarga atau PBSI berikutan keputusan pengambilan mayat mendiang.

“Kami masih menunggu keputusan daripada keluarga Zhang atau maklumat PBSI,” maklumnya.

Mendiang Zhi Jie sebelum ini dilaporkan rebah ketika menyertai Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) di Yogyakarta ketika menentang pemain Jepun.

BACA: Ini Biodata Zhang Zhi Jie, Calon Bintang Badminton China

Laporan perubatan menunjukkan mendiang mengalami serangan jantung.

BACA: Zhang Zhi Jie Disahkan Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

Mendiang yang berusia 17 tahun itu mula bermain badminton sejak tadika. Prestasinya yang cemerlang apabila menyertai skuad remaja China menjadikan kehilangannya satu berita duka buat Persatuan Badminton China (CBA).

“Zhi Jie sangat meminati badminton dan merupakan pemain terbaik dalam skuad remaja kebangsaan (China),” kata CBA dalam satu kenyataan.

Kehilangan mendiang turut mendapat perhatian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga.

“Kami mengucapkan takziah kepada keluarga, rakan sepasukannya, CBA dan seluruh komuniti badminton China,” katanya.

Sumber: Kompas

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.