Cara Potong Bawang Putih Boleh Buat Masakan Rasa Berbeza? Ini Penjelasannya
Jika anda seorang peminat masakan dan sering membaca pelbagai resipi, pasti anda perasan terdapat pelbagai cara potong bawang yang digunakan.
Ada yang hiris, potong dadu, racik, tumbuk halus, cincang atau titik (ketuk sedikit).
Apa kegunaannya dan benarkah terdapat perbezaan pada masakan mengikut cara bawang putih dipotong? Apa sebenarnya yang berlaku di sebalik cara potong bawang putih yang berbeza ini?
Mari ikuti perkongsian seorang ahli teknologi makanan, Faten Aqeela yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini menerusi laman TikTok miliknya.
Cara potong bawang putih boleh menghasilkan rasa yang berbeza pada masakan
Menurut Faten, bawang putih mengandungi sebatian sulfur yang dilepaskan apabila ia dipotong. Lebih banyak bawang putih dihiris, lebih banyak sebatian sulfur dilepaskan.
BACA: Mudah Rupanya, Ini Resipi Ikan Bawal Kukus Ala “Chinese Style”
Sebatian inilah yang membuatkan bawang putih rasa tengik dan baunya menyucuk hidung.
Sebuah kajian telah membuktikan bawang putih sememangnya mempunyai kandungan sulfur yang lebih banyak berbanding sayuran lain.
Disebabkan ini, masakan yang menggunakan bawang putih cincang atau pes bawang putih akan lebih kuat rasanya.
Namun, perkara ini hanya berlaku jika masakan tidak dimasak terlalu lama. Menurutnya lagi, jika masakan menggunakan bawang putih tadi dimasak dengan bahan lain dan dalam tempoh yang lama, bawang putih tadi sudah menjadi sebati dan rasa bawang putih yang kuat tadi akan berkurangan.
Berbeza pula dengan masakan yang menggunakan bawang putih yang “dipecahkan”. Bahasa yang lebih mudah faham, bawang putih yang diketuk atau ditumbuk.
BACA: Kecur Air Liur, Ini Resipi Salad Timun Sedap & Senang Buat
Hal ini berikutan sebatian sulfur dari bawang putih tidak akan dilepaskan sebanyak hirisan tadi. Jadi, masakan yang menggunakan bawang putih yang ditumbuk akan menghasilkan rasa yang sederhana.
Bagaimana pula dengan masakan yang menggunakan seulas bawang putih, tanpa dihiris atau ditumbuk?
Jika bawang putih dimasak dengan cara seulas tanpa dipotong atau ditumbuk, sebatian sulfur tidak akan dilepaskan. Sebab itu, rasa manis bawang putih akan terasa dalam masakan ini.
Jika perasan, rasa tengik bawang putih tidak begitu terasa dalam acar buah dan bawang putih.
Mungkin anda boleh cuba sendiri untuk merasai perbezaan hasilnya.
BACA: Durian Brûlée: Pemanis Mulut “Teatime” Ala Paris
Sumber: Faten Aqeela via TikTok