Piala FA: Faisal Halim ‘Bertopeng’ Kembali Ke Padang Pada Sesi Pemanas Badan
PETALING JAYA, 3 Ogos (Bernama) — Pemain sayap Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim yang masih dalam proses pemulihan susulan menjadi mangsa simbahan asid, membuat kemunculan dalam sesi pemanas badan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 di sini malam ini.
Selangor dijadual menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA 2024/2025 selepas tewas 2-3 dalam aksi pertama.
BACA: Sungai Seine Tercemar Selepas Hujan, Latihan Triatlon Dibatalkan Lagi
Sejurus memasuki padang bersama pasukan, tonggak utama skuad Harimau Malaya berusia 26 tahun itu bersujud di tepi padang sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh ribuan penonton yang membanjiri Stadium MBPJ.
BACA: Apa Jadi Dengan Bulu Tangkis Yang Diguna Setiap Kali Habis Perlawanan? Ini Jawapannya
Faisal yang lebih mesra disapa Mickey turut kelihatan memakai topeng muka berwarna hitam dipercayai bagi melindungi bekas luka simbahan asid yang dalam proses untuk sembuh.
Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu berada dalam senarai pemain simpanan pasukan pada perlawanan malam ini, sekali gus berpeluang membuat penampilan pertama selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Mei lepas.
BACA: Tinggalkan Gelanggang, Atlet Itali Mohon Maaf Kepada Peninju Algeria, Imane Khelif
Susulan insiden di sebuah pusat beli-belah di sini itu, beliau mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Sumber: BERNAMA